Berjaya melayakkan diri ke Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, watak pelajar nakal bernama Fakhri dalam drama bersiri, Projek: High Council memang membawa tuah kepada Mierul Aiman.
Kejayaan diraih Mierul tidak perlu dipertikaikan berikutan populariti segera diciptanya sejak muncul dalam drama berkenaan. Tidak meletakkan harapan sejak namanya tersenarai dalam pencalonan Top 20, Mierul berkata, bukan trofi dikejar, sebaliknya kepuasan peminat lebih menjadi keutamaan. "Saya gembira dan bersyukur. Saya tidak pernah menjangka nama tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 35, kemudian bergelar finalis.
"Saya sifatkan kejayaan ini sebagai pencetus semangat agar dapat memberikan kualiti lebih baik dalam lakonan. "Ada pelakon 'otai' pernah berpesan kepada saya, fokus pada karya dihasilkan dan trofi anugerah datang dengan sendirinya. "Saya percaya, apa yang diraih ketika ini adalah hasil kepercayaan diberikan peminat selepas mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya," katanya kepada BH Online.
Mengulas calon lain yang turut bersaing dengannya menerusi kategori BBNU Lelaki Popular, pemilik nama sebenar, Mohammad Amirul Aiman Norazman itu gembira apabila gandingannya, Amir Ahnaf dan Fadhli Masoot dalam drama Projek: High Council turut melepasi kelompok Top 5. "Tak dinafikan, fenomena yang dicetuskan drama Projek: High Council memberi impak besar kepada populariti barisan pelakon. "Bukan saya seorang sahaja, tetapi kepada dua rakan gandingan turut dicalonkan dalam kategori sama. "Ini persaingan sihat kerana saya berjaya meletakkan satu motivasi perlu bekerja keras dan ikhlas dalam setiap naskhah dijayakan. "Saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Sebaliknya, mengharapkan terus mendapat kepercayaan peminat. "Soal kemenangan, itu kuasa Allah yang memberikan rezeki kepada sesiapapun. Berjaya membolosi senarai Top 5 sudah memadai buat saya," katanya.
Dalam pada itu, juara program pencarian bakat Hero Remaja 2021 ini tidak menolak kejayaannya bergelar finalis ABPBH 35 disebabkan tempias gosip dan kisah sensasi yang pernah menjadi bualan netizen. "Gosip dan kisah sensasi adalah lumrah bagi kehidupan artis. Setiap karya pasti diiringi pelbagai andaian netizen dan penonton. "Semua datang secara pakej dan saya percaya ini juga proses untuk menjadi artis. Gosip turut memberi kesan sehingga saya berjaya menembusi Top 5 ABPBH 35," ujarnya. Sebelum ini, Mierul pernah digosip menjalinkan hubungan rahsia bersama gandingannya dalam Imam Instant Ustazah Scammer iaitu Qasrina Karim.
Qasrina juga berjaya membolosi kategori BBNU Wanita Popular. Mengulas adakah mempunyai strategi tertentu bagi memastikan kemenangan berada dalam genggamannya, Mierul berkata, penghargaan peminat yang terus menyokong kerjaya seninya adalah strategi utama untuk terus berjaya. "Saya tiada strategi tertentu, tetapi saya sentiasa berterima kasih kepada peminat dan berharap kepercayaan mereka akan kekal sampai bila-bila. "Ini penting kerana dapat memberi saya motivasi untuk lebih gigih menjayakan karya seterusnya.
"Lagipun, sokongan peminat bukan untuk ABPBH 35 sahaja, tetapi sokongan diberikan sebelum saya menyertai program Hero Remaja lagi," ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Selangor (UNISEL) ini. Selain Mierul, Amir dan Fadhli berjaya menembusi Top 5 BBNU Lelaki Popular adalah Danial Chuer dan Meer Nash.-CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|