Berlin: Dua mahkamah Jerman bersedia mendengar tuntutan ganti rugi terhadap pengeluar vaksin Covid-19 mulai hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). Mahkamah wilayah di Rottweil, dijadual mendengar tuntutan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 58 tahun yang mendakwa kesihatannya merosot disebabkan vaksin daripada firma Jerman BioNTech.
Lelaki itu mendakwa syarikat farmaseutikal itu bertanggungjawab atas penderitaannya apabila penglihatan mata kanannya merosot dan menuntut €150,000 (AS$163,600) sebagai pampasan. Mahkamah akan memutuskan sama ada BioNTech bertanggungjawab membayar pampasan bagi kemungkinan kerosakan material. Syarikat yang berpangkalan di Mainz itu menganggap tuduhan lelaki berkenaan tidak berasas. "Kami telah meneliti masalah kesihatan yang dikemukakan oleh plaintif berdasarkan semua maklumat yang diberikan," kata seorang jurucakap.
Mahkamah dijangkakan tidak membuat keputusan pada Isnin. Sementara itu, perbicaraan rayuan kes terhadap AstraZeneca juga bermula pada masa yang sama di Mahkamah Wilayah Tinggi di Bamberg, Bavaria. Mahkamah daerah sebelum itu menolak saman seorang wanita terhadap syarikat farmaseutikal Britain-Sweden itu enam bulan lalu. Wanita itu menyaman syarikat untuk mendapatkan ganti rugi selepas mendakwa mengalami kesihatan yang teruk disebabkan vaksin Covid-19. Tuntutan itu ditolak oleh mahkamah daerah setelah mendapati tiada kecacatan produk mahupun ralat maklumat. Tidak jelas sama ada penghakiman akan dibuat pada Isnin. Kedua-dua pihak mungkin mencapai penyelesaian. Dua kes sivil itu adalah antara tuntutan pertama terhadap pengeluar vaksin Covid-19 di Jerman. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT