Kuala Krai: Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan eKasih berstatus miskin tegar di negeri Kelantan berkurangan kepada 10,680 orang bermula Januari sehingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, pada tahun lalu sebanyak 21,001 KIR yang berdaftar dengan status miskin tegar dan jumlah berkenaan menyusut kepada 10,321. Katanya, pengurangan jumlah berkenaan dipengaruhi beberapa faktor termasuk pembukaan semula ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditamatkan dua tahun lalu.
"Selain itu, pemberian pelbagai bantuan kesejahteraan rakyat daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga membantu meringankan beban golongan miskin tegar," katanya selepas Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1444H Tahun 2023 di Klinik Kesihatan Pahi, Kuala Krai, di sini, hari ini. Turut hadir sama, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil ICU JPM, Haslinda Jamaluddin. Terdahulu 82 keluarga Miskin Tegar eKasih di daerah Kuala Krai menerima daging segar sumbangan daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan bakul makanan sumbangan daripada ICU JPM Negeri Kelantan. Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuan program berkenaan diadakan adalah untuk meraikan golongan miskin tegar dan miskin dalam menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. "Pada masa sama, ia juga diharap dapat meringankan beban serta menceriakan suasana sambutan Aidiladha. "Program yang diadakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif I Care For You ICU JPM selaras dengan agenda Malaysia MADANI dalam membantu menoktahkan kemiskinan di Malaysia dan negeri Kelantan khasnya," katanya. Untuk rekod daerah Kota Bharu mencatat jumlah KIR yang tertinggi iaitu 2,092, diikuti Tumpat (1,385) dan Pasir Mas (1,310). Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT