Singapura: Penguasa Sains Kesihatan merampas kira-kira 190 liter ubat batuk kodein haram bernilai S$150,000, serta lebih daripada S$680,000 wang tunai dirampas pada bulan Jun. Dalam operasi bersama yang menyasarkan sindiket kodein haram, yang terbesar seumpamanya sejak 2019, Penguasa Sains Kesihatan Singpura dan pegawai polis turut merampas 34 rokok elektronik, lapan peket rokok tidak berbayar dan pelbagai jenis pil.
Sindiket itu, yang didakwa membekalkan produk kesihatan tidak berdaftar seperti ubat batuk cecair dan ubat-ubatan, menjalankan kegiatan haram di pelbagai tempat di seluruh pulau. Susulan operasi pada Jun lalu, enam lelaki, berusia antara 37 tahun hingga 61 tahun sedang disiasat. Mereka disiasat atas kesalahan mengikut Akta Produk Kesihatan, Akta Kastam dan Akta Tembakau, kata Penguasa Sains Kesihatan, polis dan Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.
Antara enam, empat ditahan sebagai disyaki ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Akta Pertubuhan dan disiasat untuk kesalahan lanjut mengikut Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain. Siasatan awal mendapati bekalan kodein didakwa diperoleh dari klinik di Bishan sebelum diproses untuk penjualan haram di Geylang di sebuah unit kediaman di Choa Chu Kang Avenue 3. Kementerian Kesihatan Singapura sedang menyiasat sebuah klinik di Bishan, dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang perlu jika siasatan mengesan sebarang pelanggaran Akta Hospital Swasta dan Klinik Perubatan, kata kenyataan itu. Pengamal perubatan juga akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Singapura sekiranya terdapat sebarang kesalahan profesional. Pengarah Cawangan Penguatkuasaan Penguasa Sains Kesihatan, Annie Tan berkata: "Usaha kerjasama antara polis dan Penguasa Sains Kesihatan membolehkan kami membongkar dan menangkis bekalan haram ubat batuk cecair dan ubat-ubatan lain, sekali gus mengelakkan bahaya selanjutnya kepada orang ramai. "Penguasa Sains Kesihatan akan terus meningkatkan usaha penguatkuasaan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam operasi serbuan di kawasan sasaran untuk membanteras bekalan haram ubat-ubatan itu". Sesiapa yang disabitkan kesalahan mengimport, mengilang atau membekalkan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang, atau gabungan di atas, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT