kualiti vokal Liza Hanim, 44, terjejas akibat tiga kali menjadi mangsa virus COVID-19. Dalam usia semakin meningkat, Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim berkata, ia turut mempengaruhi tahap kecergasan, malah tidak mampu memberikan persembahan dengan sempurna seperti beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu tetap berusaha mengatasinya agar mampu menghibur peminatnya. "Cabaran menjayakan persembahan atau konsert adalah kesihatan. Sekarang, banyak penyakit 'mengarut' datang menyerang yang akhirnya membuatkan suara akan berubah. "Rasanya suara saya sangat berbeza dengan tiga tahun lalu. Jika terkena jangkitan COVID-19, ia akan membuatkan saya rasa seperti mahu mengalah dan kecewa. "Selain itu, ia memang memberi kesan kepada pernafasan dan stamina. Tetapi, walaupun sudah tiga kali dijangkiti COVID-19, saya bersyukur tidak seteruk orang lain yang sampai masuk hospital," katanya kepada BH Online.
Justeru, Liza yang juga pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-17 berkata, antara perkara yang perlu dilakukan adalah sentiasa bersenam supaya dapat menjaga pernafasan, termasuk mengembalikan semula stamina. "Melihatkan usia semakin meningkat dengan tahap kesihatan yang sering terjejas, jadi saya perlu bersenam. Saya masih boleh menyanyi, cuma tidak dinafikan susah payah tetap ada. "Namun, itu tidak menjadi masalah kerana tiada apa yang perlu dibuktikan sekarang. Saya hanya mahu menyanyi mengikut kemampuan dan kesesuaian usia," katanya. Ditanya kebimbangan terhadap keupayaan vokalnya untuk beberapa tahun akan datang, ibu kepada lima cahaya mata itu menganggap ia adalah perkara normal, selain percaya rezeki sentiasa ada. "Risau memang ada, tetapi saya terima hakikat yang tahun ini usia sudah masuk 44 tahun. Jadi, apa sahaja perubahan akan berlaku. "Saya tidak boleh risau kerana ini adalah perkara normal. Saya hanya manusia biasa dan kulit pun semakin lama berkedut. "Namun, saya tetap bersyukur kerana masih boleh menyanyi. Alhamdulillah, masih ada orang yang mahu dengar saya menyanyi. "Kalau tiba masa berhenti menyanyi, saya akan terima. Namun, selagi diberi keizinan, saya teruskan sahaja," katanya. Terbaharu, Liza akan tampil dalam Konsert P Ramlee - Signature A Minor 7 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya, Selangor, selama dua hari, mulai 7 Julai depan bersama Sean Ghazi. Konsert yang bertujuan memperingati ulang tahun ke-50 pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu akan berlangsung selama 75 minit dengan menampilkan 12 lagu daripada filem lakonan dan arahan arwah yang pernah memenangi anugerah tempatan mahupun antarabangsa antara 1953 hingga 1965. Antara lagu didendangkan termasuklah adalah Ingin Tahu, Berkorban Apa Saja, Engkau Laksana Bulan, Malam Bulan Dipagar Bintang, Gelora dan Madu Tiga. -CARI Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT