Penyanyi Haqiem Rusli yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular bagi ABPBH 35 mengakui tidak mempunyai strategi khusus bagi kekal relevan dalam industri seni muzik tempatan. Bersaing dengan Amir Masdi, Hael Husaini, Naqiu dan Khai Bahar dalam kategori yang sama, penyanyi berusia 25 tahun itu menyerahkan kepada peminat sepenuhnya untuk membuat undian.
Penyanyi lagu Mimpi ini reda dengan sebarang keputusan yang bakal diumumkan pada malam kemuncak bulan depan. Andai kemenangan berpihak kepadanya, penyanyi berusia 25 tahun itu sudah semestinya bersyukur. "Jika ditanya strategi untuk terus kekal relevan, sejujurnya, tidak ada. Saya terima apa sahaja keputusan pada malam itu dengan hati yang reda. "Andainya, diri ini masih kekal relevan. Alhamdulillah. Saya tidaklah atur strategi semata-mata untuk menang. "Sebaliknya, saya serahkan ke tangan peminat untuk mengundi. Namun, saya ada promosikan pencalonan saya pada ABPBH 35 dalam media sosial mengajak peminat mengundi," katanya yang berterima kasih kepada peminat hingga dirinya bolos Top 5.
Bagi kategori Lagu Paling Boom Popular, Haqiem berdepan saingan lagu Nakal dendangan Janna Nick; Casabllanca (Nuha Bahrin dan Naufal); Cinta Sejati (Alin & Aman Sidek) dan Terus Hidup (Aina Abdul). Untuk rekod, Haqiem pernah dinobat Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 serta menggenggam trofi Penyanyi Lelaki Popular dan Lagu Paling Boom Popular pada edisi sama Pada edisi ABPBH 32, Haqiem juga pernah mengungguli kategori Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Selamat Tinggal Sayang pada ABPBH 32. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT