Tidak padan sarat hamil hampir tujuh bulan, seorang suri rumah didakwa merompak seorang warga emas dengan menjerut leher dan mengacukan pemutar skru kepada wanita itu pada minggu lalu. Nor Fahtihah Ahmadi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Idzham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjerut leher mangsa, mengacukan pemutar skru dan cuba merompak Romainor Daud, 64. Perbuatan itu dilakukan olehnya di Kampung Tanjung Chat, Jalan Sungai Keladi di sini kira-kira pukul 10 pagi hingga 11 pagi pada 22 Jun lalu. Nor Fahtihah didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar. Terdahulu, Siti Aisyah mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 diberikan kepada tertuduh. Syed Muhammad Syafiq dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu sedang mengandung. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 18 Julai depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. Sumber: KOSMO! ONLINE |
venom1 replied at 27-6-2023 02:44 PM
fuh ganas juga dia ni..tak padan bertudung
ADVERTISEMENT