Jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Koperal Udara (U) Mohd. Syuib Bidin, 33, yang terkorban ketika Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar di Kem Syed Sirajudin, Gemas, Negeri Sembilan kelmarin sempat menghubungi kakaknya bagi memaklumkan kejadian yang menimpa dirinya.
Noraziah Bidin, 42, berkata, adiknya membuat panggilan telefon tersebut ketika menerima rawatan di Hospital Segamat di sini dan memaklumkan yang dia terkena letupan bom. “Waktu dia telefon, saya tidak tahu apa-apa dan adik hanya beritahu yang dia sudah kena bom. Itu sahaja. “Selepas itu saya tidak tahu apa-apa. Bila sudah dekat maghrib, baru saya dimaklumkan yang adik sudah meninggal dunia,” kata Noraziah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat di sini semalam.
Mohd. Syuib yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.45 petang selepas terlibat dalam kejadian letupan bom lempar yang turut mengorbankan seorang lagi anggota TUDM. Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi, 22, yang berasal dari Lenggeng dan merupakan penuntut bagi Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 disahkan terkorban di lokasi kejadian pada pukul 12.10 tengah hari kelmarin. Kejadian turut menyebabkan seorang lagi anggota TUDM, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, yang berasal dari Kluang parah dan kini menerima rawatan di Hospital Segamat. Bercerita lanjut, Noraziah berkata, arwah adiknya merupakan seorang yang sangat baik dan sering membantu keluarga. “Dia sangat baik, selalu permudahkan urusan orang lain, seorang yang periang, baik hati dan sering membantu keluarga dari pelbagai sudut,” ujarnya. Sementara itu, suasana pada majlis pengebumian Allahyarham Mohd. Syuib di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapor, Kemaman, Terengganu semalam bertukar pilu sebaik isteri arwah, Nur Faziera Izam, 29, menyiram air mawar ke pusara suaminya. “Abang kata nak balik rumah hari ini (semalam),” rintih Nur Faziera berulang kali menyebabkan sebahagian besar 100 hadirin terdiri daripada sanak saudara dan anggota TUDM gagal mengawal sebak. Ibu kepada dua anak berusia 16 bulan dan empat tahun itu dikatakan hanya menunggu masa untuk bertemu dengan suaminya di kampung halaman mereka di Kampung Tok Kapor. Dalam pada itu, rata-rata ahli keluarga Mohd. Syuib mengakui terkejut sebaik menerima perkhabaran yang menimpa jurulatih TUDM itu. Menurut Kamaruddin Yusof, 51, dia bersama beberapa ahli keluarga yang lain terus bergegas ke Segamat dari Kuantan sebaik menerima berita mengenai insiden yang menimpa arwah. “Kami terkejut apabila mendapat tahu berita sedih itu kira-kira pukul 6 petang yang memaklumkan Mohd. Syuib telah tiada. “Saya sendiri tidak menyangka Mohd. Syuib sudah meninggalkan kami semua buat selama-lamanya,” katanya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT