Dua individu yang mahu mendaki sebuah bukit di Pulau Kapas, Terengganu, terkejut apabila melihat sekumpulan individu berpakaian serba putih di kawasan tepi laut. "Apa benda tu? Kejadian 10.48 pagi tadi. Masa tu aku dalam perjalanan nak pergi hiking tapi patah balik sebab tak ada orang pergi hiking pagi, cuma kami berdua je," tulis Muhammad Nazrin pada kapsyen video TikTok.
Di ruangan komen, ramai netizen berjenaka tentang kelibat kumpulan berbaju putih itu, tak kurang juga yang mengaitkannya dengan elemen mistik seperti orang bunian dan sebagainya. "Jangan kacau bunian nak healing tu. "Dari jauh nampak real macam orang bunian. "Insan terpilih je dapat jumpa bunian ni," tulis beberapa netizen.
Bagaimanapun seorang wanita dikenali sebagai Gee tampil memberikan penjelasan bahawa dia merupakan salah seorang individu berbaju putih dalam video tular itu. "MasyaAllah. Itu team kami sedang bercuti. Baru lepas turun bot untuk hiking Bukit Singa. Kami bukan bunian," tulisnya di ruangan komen. Ketika dihubungi mStar, Gee berkata dia dan rakan sekerjanya bercuti di Terengganu sejak Khamis, 22 Jun sebelum mengikuti perjalanan balik hari ke Pulau Kapas pada Jumaat. "Kami semua kawan-kawan pejabat. Kami dari Shah Alam, penerbangan kami tiba di Terengganu pada 8 pagi Khamis. Tiga hari kami di sana. Pada Jumaat, kami ambil pakej day trip ke Pulau Kapas untuk OOTD (outfit of the day). "Saya yang tetapkan supaya semua berpakaian putih. Saya kata, siapa tak pakai putih, saya akan golek dalam laut. Total semua 13 orang termasuk anak saya. "Tiba-tiba member maklumkan yang video kami dah viral. Ada orang rakam dari jauh. Jadi kami cuba semak masa serta tarikh, betul memang kami dalam video TikTok individu tersebut," ujarnya kepada mStar. Menurut Gee yang bekerja di Pejabat Tanah Dan Galian Selangor, dia turut berhubung dengan pemuda berkenaan bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada hari itu. "Terkejut la kita dah viral. Saya pun ada WhatsApp dengan adik tu. Dia tak yakin yang baju putih semua tu manusia. Jadi lepas dah sahkan bahawa itu team saya dalam video berkenaan, dia pun ada minta maaf. "Baca komen netizen, saya pun rasa terhibur. Bukan salah adik tu pun. Dia cuma nak kepastian. Tapi kami pun tak hiking, sebab salah seorang rakan terkena obor-obor. Jadi kami bergambar di bawah saja," ujar Gee lagi. Tambah Gee, dia terhibur dengan kejadian itu dan tidak ambil hati tentang penularan video berkenaan. Malah katanya, kunjungan kali kedua ke Pulau Kapas itu dianggap sebagai kenangan melucukan selepas kisah dia dan rakan-rakan sekerjanya tular di TikTok. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|