Rakaman yang tular sejak Khamis lalu menunjukkan seorang penunggang motosikal memancitkan tayar kereta pengguna jalan raya lain membongkar kegiatan kejinya itu. Menerusi klip berdurasi 25 saat itu, pelaku tersebut dilihat berada betul-betul di sebelah sebuah kereta sebelum meletakkan seliparnya yang dipercayai berpaku di tayar belakang kenderaan tersebut. Berdasarkan kepada nombor plat motosikal berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku Surabaya, Jawa Timur, Indonesia. Difahamkan, perbuatan itu dilakukan bertujuan bagi merosakkan tayar kereta tersebut tanpa disedari pemandu. "Berhati-hati dan berwaspada jika tayar kereta tiba-tiba bocor!! Ini merupakan aksi seorang lelaki menggunakan paku daripada selipar dan cuba merosakkan tayar kereta. "Apabila tayar rosak dan kereta berhenti, pelaku dikhuatiri akan segera melaksanakan perbuatan jahatnya," tulis ciapan video tular tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Surabaya, Haryoko Widhi ketika dihubungi Kompas.com berkata, pihaknya masih belum mendapatkan sebarang laporan berkenaan insiden tersebut. Namun begitu, beliau berkata, mangsa berkemungkinan tidak membuat laporan polis kerana berasakan tayar keretanya bocor akibat perkara yang tidak disengajakan. "Walaupun tidak dilaporkan kepada polis, pihak berkuasa tetap menjalankan pemantauan untuk mencari pelaku," katanya.— Agensi |
ADVERTISEMENT