Kuala Lumpur: Dah jadi macam kebiasaan pula, peralatan gerai jualan tepi jalan tidak diangkat selepas tamat berniaga. Keadaan itu bukan hanya mencacatkan pemandangan mata serta mengganggu laluan pejalan kaki, malah turut mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna.
Harian Metro melaporkan, situasi ini dapat dilihat berdasarkan pemerhatian di sekitar Sentul, Batu Muda, Gombak, Bandar Tun Razak, Taman Tenaga, Salak Selatan serta Bandar Sri Permaisuri, baru-baru ini. Untuk rekod, orang awam di Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga kecil-kecilan menerusi program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diperkenalkan sejak November 2020. Penduduk setempat, Azmi Abdullah, 45, berkata, dia yang menetap di sebuah kondominium berhampiran Sentul berasa terganggu dengan keadaan menyakitkan mata itu. Katanya, keadaan itu ketara berlaku selepas kerajaan membenarkan orang ramai berniaga di tepi jalan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
"Kita faham peniaga hendak cari rezeki, bukan halang mereka tetapi kami pertikaikan peralatan niaga seperti payung, kerusi dan meja yang hanya dibiarkan di situ selepas habis berniaga, sekali gus mengganggu laluan pejalan kaki. "Kadangkala kalau kita hendak parkir kenderaan pun susah kerana gerai itu seolah-olah memonopoli kawasan itu. "Sebenarnya sebelum ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah angkut barangan mereka tetapi sampai sekarang masih ada yang berdegil," katanya yang berharap pihak berkuasa lebih tegas dalam menangani isu ini. Mohamad Zakeri Abd Rahman, 49, mengakui keadaan sama turut berlaku di kawasannya di Bandar Sri Permaisuri, namun baginya peniaga tidak harus dipersalahkan sepenuhnya. "Memang ikut peraturan salah, tetapi nak salahkan peniaga saja pun tak boleh kerana selain memudahkan mereka (tak perlu angkat peralatan setiap hari), masyarakat kita pun suka beli tepi jalan. "Jadi, saya syorkan DBKL beri lesen penuh dan letakkan peniaga Bumiputera ini di satu tempat khas di setiap kawasan. "Dengan itu, mereka boleh berniaga dengan aman tanpa membuat kacau ganggu atau menimbulkan masalah kepada orang lain kerana mereka juga cari makan," katanya. Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya turut tidak bersetuju dengan mentaliti peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan hingga memberikan risiko kepada orang lain. "Kita minta DBKL menyerap semua peniaga terutama mereka yang menjadikan berniaga sebagai mata pencarian sepenuh masa kepada lesen kekal dan letakkan mereka di premis yang ada kekosongan. "Kita tidak mahu lesen sementara seperti WBB kekal selama-lamanya berniaga di tepi jalan kerana banyak isu antaranya tidak ikut peraturan seperti ini. "Pihak berkuasa pula perlu teruskan penguatkuasaan dengan dibekalkan salinan lesen mengandungi maklumat peniaga seperti tempoh waktu berniaga, saiz keluasan gerai dan syarat selepas niaga perlu angkat peralatan dan kosongkan petak," katanya. Katanya, pihak berkuasa boleh memberikan amaran pertama dan kedua sebelum membatalkan lesen dan menyita peralatan jika peniaga masih ingkar. Beliau menganggarkan kira-kira 31,000 peniaga berdaftar dengan DBKL termasuk lesen pasar malam serta hampir 4,000 peniaga tiada lesen, lesen dibatalkan atau gagal diperbaharui. -CARI Sumber: Harian Metro
|
OshinDaSolja replied at 26-6-2023 11:52 AM
DBKL kena check yg berniaga ni rakyat tempatan ke pendatang asing... pendatang asing dari seberang t ...
ADVERTISEMENT