London: Pewaris takhta Britain, Putera William komited untuk menamatkan isu gelandangan dan memastikan keadaan itu tidak berulang, menurut Istana Kensington. William, 41, bakal melancarkan satu inisiatif baharu di seluruh United Kingdom (UK) melalui Yayasan Dirajanya untuk membantu menggerakkan enam lokasi utama di seluruh Britain sebagai 'ruang, peralatan dan perhubungan' bagi mencegah isu gelandangan.
Menjanjikan pendekatan transformatif kepada isu terbabit, inisiatif lima tahun yang digelar 'Homewards' akan berusaha mencipta model yang sudah diuji dan boleh diperluaskan di seluruh UK dan lain-lain. Ia bertujuan memulakan strategi perkongsian yang belum pernah berlaku sebelum ini dan meningkatkan pemahaman mengenai gelandangan melalui program yang dilancarkan bersama penyelidikan baharu yang menunjukkan satu daripada lima orang di Britain mempunyai pengalaman kehilangan tempat tinggal.
"Dalam masyarakat moden dan progresif, setiap orang harus mempunyai tempat tinggal selamat dan terjamin, dilayan dengan bermaruah dan diberi sokongan yang diperlukan," kata William dalam satu kenyataan. "Melalui Homewards, saya mahu menjadikan inisiatif ini satu realiti dan dalam tempoh lima tahun akan datang, memberi harapan kepada orang ramai di seluruh UK yang gelandangan dapat dicegah apabila kita saling bekerjasama. "Ia adalah satu tugas besar, tetapi saya yakin dengan bekerjasama menjadikan isu gelandangan sebagai jarang berlaku, singkat dan tidak berulang dan saya sangat berharap dapat menyumbang tenaga di keenam-enam lokasi bagi merealisasikan cita-cita ini," katanya. William akan memulakan lawatan ke seluruh negara selama dua hari bermula hari ini di London, yang mana beliau akan mengumumkan enam lokasi terbabit. Di setiap lokasi yang dipilih, Homewards akan membantu membentuk gabungan yang terdiri daripada individu, organisasi dan perniagaan yang diterajui warga tempatan yang akan berusaha untuk mencegah gelandangan di kawasan mereka berdasarkan keperluan dan kepakaran tempatan. Sementara itu, menurut Istana Kensington, melalui inisiatif terbabit ia juga akan menyediakan akses kepada rangkaian kepakaran, rakan kongsi dan pembiaya terbaik dalam kelasnya di peringkat tempatan dan nasional. Katanya, ia termasuk sehingga £500,000 (AS$635,000 atau RM2.97 bilion) sebagai pembiayaan awal fleksibel di setiap lokasi yang boleh diakses untuk menyokong penyampaian pelan tindakan mereka. - AFP Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT