Pelajar tahfiz yang sesat empat hari dalam kawasan kebun getah di Gerik sejak Rabu lalu, hanya berasakan dia hilang sehari sebelum ditemukan selamat, kelmarin. Perkara itu diceritakan bapa Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, yang berkata, anaknya memberitahu hanya hilang sehari sedangkan gerakan mencarinya mengambil masa empat hari.
Mohd. Harris berkata, ketika operasi mencari, anaknya itu memberitahu memang ada mendengar suara daripada anggota pasukan penyelamat. Mohd. Harris Muhamed, 46, berkata, anaknya itu tidak sedar dia berada di mana ketika gerakan mencarinya dijalankan termasuk menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9). “Dia beritahu tak sedar apa-apa pun (ketika hilang), dia juga tidak tahu dia berada di mana. Cuma dia kata (hilang) sehari saja padahal kami mencarinya sudah empat hari,” katanya ketika dihubungi.
Malah, katanya, Muhammad Naufal Adzimi mengatakan ada ternampak ‘cahaya’ tetapi tidak nampak orang yang mencarinya. “Dia kata dia dengar suara anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan suara-suara yang dia kenal yang turut mencarinya. Dia cuma nampak cahaya namun tak nampak orang, dia boleh mendengar sahaja,” katanya. Mengenai unsur mistik yang dikaitkan dengan kehilangan berkenaan, Mohd. Harris berkata, anaknya itu tidak bercerita langsung mengenai sebarang unsur tersebut. “Mengenai unsur mistik, dia tak beritahu apa-apa, lagi pun kami tak mahu tahu fasal itu apatah lagi ada ustaz yang beritahu jangan tanya fasal ‘alam lain’ kepadanya. “Cuma ada beberapa orang yang pandai bab itu, ‘scan’ dan dapat berinteraksi dengan Muhammad Naufal Adzimi di alam lain (ketika hilang) dan memaklumkan dia beritahu kata ada ‘tok’ yang minta tolong ajar mengaji dengan budak-budak di alam itu,” katanya. Muhammad Naufal ditemukan pasukan penyelamat di sebuah kebun Getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai di sini kelmarin setelah dilaporkan hilang pada Rabu. Remaja berkenaan ditemui dalam keadaan sedar biarpun lemah pada pukul 10.49 pagi. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT