Kuala Lumpur: Ruang terbuka untuk aktiviti fizikal dan riadah perlu disediakan oleh pihak yang terbabit dalam pembinaan kawasan perumahan khususnya pembangunan penempatan untuk golongan B40 atau miskin bandar.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan penyediaan itu, ia dapat melepaskan lelah dan meluahkan resah bagi mengelakkan kesejahteraan mental penduduk terganggu. "Satu kajian dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 13.4 peratus golongan remaja dan kanak-kanak yang menginap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kawasan Lembah Klang mempunyai masalah kesihatan mental. "Kajian menyatakan kanak-kanak dan remaja ini cenderung membunuh diri mahupun mencederakan diri. Ini sesuatu yang membimbangkan bagi golongan ini apabila 12.3 peratus daripada mereka mengalami masalah kemurungan dan keresahan.
"Sehubungan itu, saya mencadangkan pihak berkuasa yang terlibat dalam pembinaan kawasan perumahan khasnya yang melibatkan pembangunan penempatan untuk golongan B40 atau miskin bandar mengambil kira aspek kesihatan mental dan kesejahteraan penduduknya," katanya dalam kenyataan, hari ini. Lam Thye berkata, ini bagi memastikan isu berkaitan mental dalam kalangan penghuni PPR diambil kira oleh pemaju serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perancangan projek perumahan dan menyediakan kawasan untuk beriadah yang boleh membantu pembangunan mental. "Ketika ini tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan PPR kurang tempat beriadah, kurang kawasan melakukan aktiviti fizikal dan kawasan bagi melepaskan kelelahan serta keletihan di samping pembinaan kawasan tempat tinggal yang terkurung dan sempit. "Setiap pihak yang terlibat dalam pembinaan penempatan harus mengambil kira aspek kehidupan ini. Pembangunan PPR yang keluasan rumah 600 kaki per segi ke 800 kaki per segi cukup sempit sekali gus melelahkan kehidupan golongan miskin bandar," katanya. Katanya, kanak-kanak dan remaja khususnya yang belum mempunyai ketahanan mental kukuh memerlukan sokongan kaunseling semua pihak untuk memastikan mereka mampu membesar serta menjalani kehidupan sejahtera hingga meningkat dewasa. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT