Kuala Lumpur: Tak bekerja, hanya bergantung dengan suami serta memikirkan nasib anak yang masih kecil, antara alasan utama isteri yang bersabar, setia dan bertahan dalam rumah tangga yang berkecamuk angkara sikap suami yang tidak bertanggungjawab.
Perkongsian kisah ini merungkai sebab wanita masih mahu terus bertahan dalam perkahwinan itu. Kisah 1 "Baru beberapa bulan berkahwin suami sudah memukul saya, malah paling teruk saya dibelasah dengan tukul hingga retak tengkorak. Selama ini saya bertahan kerana mengenangkan nasib anak-anak tanpa menyedari diri teraniaya dan tersakiti," kata mangsa penderaan suami, Hana, 30-an. Mengimbau semula kenangan mengenali suaminya berusia 35 tahun, Hana berkata, mereka berkenalan ketika menuntut di sebuah kolej pada 2009 sebelum membuat keputusan berkahwin pada 2010. "Saya tidak pernah bercinta dan dia adalah teman lelaki pertama yang menyebabkan saya melalui pengalaman bercinta pada usia 18 tahun.
"Pada awal perkenalan kami, dia ada menumbuk mata saya kerana berlaku salah faham antara kami. "Namun, disebabkan kesungguhan dan keazaman dia untuk memperbaiki kesalahannya itu menyebabkan saya memaafkan dan menerimanya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini. Hana berkata, dia dan suami terpaksa berkahwin di Songkla, Thailand pada 2010 kerana keluarganya tidak menerima keputusannya memilih lelaki itu sebagai suaminya. "Hanya selepas beberapa bulan berkahwin, suami sudah mula pukul saya termasuk ketika sedang hamil iaitu usia kandungan anak pertama dua bulan kerana saya tidak masak. "Merumitkan lagi keadaan apabila suami mula terbabit dengan dadah pada 2013 menyebabkan dia menjadi panas baran dan lebih kerap memukul saya termasuk menggunakan cota dan kayu. "Sepanjang tempoh menjadi penagih, sudah beberapa kali dia keluar masuk penjara atas kesalahan dadah," katanya yang dikurniakan lapan anak berusia antara 13 tahun hingga setahun hasil perkahwinan itu. Dia yang juga suri rumah berkata, episod hitam dalam hidupnya didera oleh suami berterusan sehingga mencetuskan kejadian paling teruk pada 2019 apabila dia dipukul menggunakan tukul. "Dalam kejadian itu, berlaku pertengkaran mulut antara kami sebelum suami bertindak memukul saya menggunakan tukul selain menendang belakang badan serta muka. "Kejadian itu menyebabkan saya mengalami kecederaan termasuk tengkorak retak, patah tulang rusuk, tulang hidung patah serta lebam seluruh badan. "Jiran yang melihat kecederaan yang saya alami membantu saya dan membawa saya ke balai polis untuk membuat laporan. Itu adalah kali pertama saya membuat laporan polis meskipun sudah beberapa tahun didera," katanya. Katanya, dia nekad untuk bercerai apabila melihat suaminya masih tidak berubah dan menggunakan kesempatan suaminya yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah ketika ini bagi melakukan proses berkenaan. "Disebabkan perkahwinan kami di Thailand tidak pernah berdaftar, saya terpaksa menghabiskan masa di sana selama tiga hari bagi menyelesaikan urusan cerai secara taklik pada April lalu. "Pada mulanya, saya memilih untuk bertahan dengan perkahwinan ini disebabkan anak-anak dengan anggapan bagaimana saya nak hidup tanpa suami memandangkan saya tidak bekerja. "Namun, semua urusan anak-anak diuruskan sepenuhnya oleh saya. Suami pula tidak bekerja sehingga saya terpaksa berniaga secara dalam talian bagi menampung perbelanjaan seharian serta anak-anak," katanya. Menurutnya, dia sering menerima nasihat daripada rakan serta ahli keluarga untuk meninggalkan suaminya sebelum ini, namun masih lagi mahu memberi peluang kerana mahukan lelaki itu berubah. "Namun, dia langsung tidak kasihan dengan saya yang terkontang-kanting menguruskan rumah tangga ini selama 13 tahun kami berkahwin. "Disebabkan itu, saya nekad untuk selamatkan diri dan anak-anak daripada hubungan toksik ini. "Sebagai ibu, sudah jadi tanggungjawab saya untuk menyelamatkan anak-anak daripada hidup dalam keadaan persekitaran yang tidak selamat dengan penderaan fizikal dan mental," katanya. Kisah 2 Terpaksa bergantung dengan suami, anak masih kecil dan dibuang keluarga menyebabkan Warda, 20-an (bukan nama sebenar) memilih terus bersama suami yang panas baran hingga cedera di muka akibat dipukul dua tahun lalu. Peristiwa itu juga membuatnya nekad melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa namun laporan polis ditarik semula atas alasan utama kerana kasihankan anak yang masih kecil. Warda yang menetap di sebuah negeri di utara tanah air berkata, dia berkahwin ketika berusia 17 tahun sementara suami tua dua tahun daripadanya, namun perkahwinan mereka tidak direstui keluarganya. Menurutnya, suami yang berkerja sebagai pengawal keselamatan seorang yang panas baran dan selalu meninggikan suara tetapi tidak pernah berkasar dengannya sehingga membabitkan kekerasan. "Semuanya berubah apabila suami mula ketagih bermain permainan video sehingga dia mengabaikan keluarga dan panas baran semakin serius sejak tahun keenam perkahwinan kami. "Sejak itu kami mula kerap bergaduh dan dia mula berani naik tangan hingga sanggup pukul dan tampar saya hingga muka lebam. "Salah cakap sikit saja dia marah dan selepas pukul suami akan minta maaf tetapi dua atau tiga minggu kejadian berulang lagi. Hampir dua tahun saya sabar dengan derita itu dan bertahan kerana bergantung dengannya serta anak kecil lagi," katanya mempunyai dua anak dan kini hamil anak ketiga. Warda juga sempat membuat laporan polis, namun melihat anak merindui bapa mereka sehingga demam panas melembutkan hatinya untuk menarik semula laporan dalam masa tidak sampai 24 jam ia dibuat. "Alasan saya ketika itu juga hanya kerana dua anak kami masih kecil rapat dengan suami selain saya tidak berkerja, malah tiada tempat bergantung selain dia kerana keluarga juga sudah tidak pedulikan saya. "Suami juga berjanji mahu berubah dan selepas kejadian itu dia sudah tak naik tangan lagi, marah biasa itu adatlah. Risau juga perkara sama berulang tetapi saya percaya suami mahu berubah, " katanya. Kisah 3 Enam tahun wanita ini memujuk diri untuk terus bertahan dalam perkahwinan yang 'diserikan' dengan amarah, herdikan dan sepak terajang suami panas baran, kuat cemburu dan ketagihan dadah. Semua itu dilakukan Siti (bukan nama sebenar) berusia 20-an hanya kerana memikirkan nasib dan persekolahan empat anak selain dirinya juga tidak berkerja dan bergantung dengan suami. Siti berkata, dalam episod derita itu, suami masih mengambil berat persekolahan tiga anak yang bersekolah rendah dan tadika serta tidak pernah memukul anak biarpun sering dimarahi. "Kami berkahwin selama 10 tahun selepas saya tamat sekolah dan masuk tahun keempat perkahwinan, suami yang juga penagih dadah mula 'naik' tangan dan maki hamun. Saya hanya tahu dia menagih selepas berkahwin. "Sebagai ibu, anak menjadi alasan utama saya untuk terus bertahan biarpun hampir setiap hari saya akan diherdik, dipukul dan ditampar walaupun hanya kesalahan kecil, pernah saya tak sempat sapu rumah suami bising dan pukul saya," katanya. Katanya, paling menyedihkan apabila suami memukulnya di hadapan anak mereka menyebabkan empat anaknya menangis ketakutan dan dimarahi kerana cuba menghalangnya daripada dipukul. "Tiga tahun lalu suami dipenjarakan kerana dadah dan apabila bebas panas baran semakin parah dan cemburunya melampau apabila asyik menuduh saya curang ketika dia di penjara. "Dia makin kerap pukul saya supaya saya mengakuinya sedangkan saya tak buat perkara itu, malah setia dan masih menerimanya. Setiap kali selepas pukul saya, suami menyesal dan janji tak ulangi lagi," katanya. Menurut Siti, desakan hidup yang bergantung sepenuhnya dengan suami menyebabkan dia hanya memendam rasa untuk terus bertahan selain memikirkan masa depan empat anak yang masih kecil. "Saya tidak pernah berkerja dan semua suami yang sediakan walaupun tidak mewah. Persekolahan anak juga tidak diabaikan, selain masih ada sayang dan harapan untuk suami berubah sikap, malah setiap hari saya doa dia akan berubah dan tinggalkan dadah. "Beberapa minggu lalu saya cedera dipukul suami menggunakan kayu menyebabkan saya takut nyawa melayang sebelum membuat laporan polis," katanya yang akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai. Boleh jejas emosi, kesihatan mental Bertahan dalam hubungan bersifat 'toksik' hingga menyebabkan kecederaan fizikal akan menjejaskan emosi dan kesihatan mental wanita. Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, ia juga mengganggu persekitaran selamat untuk anak dalam sesebuah institusi keluarga itu. "Kalau wanita itu masih bertahan dan menghambakan diri dalam hubungan yang toksik, akhirnya yang paling ketara adalah kesan daripada kesihatan mental. "Mental akan terjejas kerana memikirkan sesuatu yang tidak berubah dan tiada penyelesaian. "Apabila fikiran terganggu akan menjejaskan emosi dan ada memendam perasaan," katanya. Katanya, ia akan menyebabkan wanita memendam kesedihan dan kekecewaan yang boleh menjadi 'barah' di hatinya atau emosinya terbeban membawa kepada masalah seperti depresi dan neurosis. "Ibu adalah aset dalam rumah tangga, sihat ibu sihatlah anak dan keluarga. Bahagia ibu bahagialah yang lain. Apabila ada pergaduhan suami isteri sehingga kecederaan fizikal dan emosi, ia akan turut menjejaskan persekitaran anak," katanya. Siti Fatimah berkata, psikologi wanita berkait tiga asas iaitu fisiologi seperti aktiviti fizikal dan keperluan asas serta keselamatan bukan saja untuk dirinya tetapi orang disayangi. Katanya, selain kasih sayang yang mana wanita akan memastikan dia memberinya kepada orang disayangi sama ada dia sendiri merasainya atau tidak. Justeru katanya, antara sebab yang menyebabkan wanita itu bertahan dalam hubungan adalah kerana menjaga aib, lebihkan orang lain daripada dirinya dan mahu menyelesaikan sendiri masalahnya selain berharap suami berubah. Rekod 3,997 kes keganasan rumah tangga sejak 2018 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 3,997 aduan kes keganasan rumah tangga dalam tempoh lima tahun ini sehingga Mac lalu. Ketua Pengarahnya, Norazman Othman berkata, rekod itu membabitkan wanita dan lelaki pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak dengan wanita berusia antara 22 hingga 39 tahun adalah yang tertinggi direkodkan diikuti usia 40 hingga 59 tahun. Menurutnya, sebanyak 673 kes direkodkan pada 2019 membabitkan wanita seramai 627 dan lelaki 46 kes, manakala bagi 2020 sebanyak 1,047 kes membabitkan wanita (939) dan lelaki 108 kes. "Kes kemudian meningkat pada 2021 iaitu sebanyak 1,234 aduan diterima membabitkan 1,151 (wanita) dan 83 (lelaki) sebelum menurun kepada 843 pada tahun lalu membabitkan 768 kes (wanita) dan 75 (lelaki). "Bagi tahun ini sehingga Mac lalu sebanyak 200 kes sudah direkodkan dengan 179 adalah wanita dan 21 adalah lelaki," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro. Menurutnya, sikap panas baran dikenal pasti antara lima punca utama direkodkan dalam aduan diterima pihaknya yang menyebabkan keganasan rumah tangga. "Sikap panas baran direkodkan sebanyak 26.49 peratus diikuti perselisihan faham (16.73 peratus), masalah penagihan dadah (10.18 peratus), mengalami masalah kewangan (7.3 peratus) dan cemburu (6.35 peratus)," katanya. Menurutnya, JKM sentiasa bersedia membantu mangsa dengan menjelaskan hak perlindungan termasuk urusan lanjut berkaitan dan bantuan lain seperti khidmat kaunseling, menyelaras dan program pemulihan mengikut keperluan. Katanya, mangsa keganasan rumah tangga diminta tampil atau membuat panggilan ke mana-mana balai polis atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran untuk membuat laporan atau aduan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT