Tular satu video, taktik yang digunakan penjenayah untuk memecah masuk sebuah bilik hotel. Menerusi video yang dirakamkan dari dalam bilik, suspek dilihat menggunakan sebatang rod besi halus yang panjang serta diikat dengan tali dan kemudian dijulurkan dari bawah daun pintu.
Alatan khas itu dilihat berperanan untuk menarik tombol pintu jenis panjang. Bagaimanapun tidak pasti video tersebut adalah kejadian sebenar atau sekadar demonstrasi, namun dipercayai ia adalah rakaman di sebuah hotel di luar negara. "Percubaan memasuki bilik hotel menggunakan peralatan khas," demikian kapsyen pada akaun @multiversovideosviral yang memuat naik video tersebut di TikTok. "Kejadian dikatakan berlaku di luar negara, tapi tak mustahil ia berlaku di sini. Sentiasa berhati-hati dan waspada. Share share geng supaya semua alert," tulis pentadbir akaun TikTok @kiraaku7 yang meraih lebih dua juta jumlah tontonan untuk video tersebut.
Susulan tularnya klip tersebut, beberapa individu berkongsi pula video demonstrasi mengenai cara-cara untuk menghalang penjenayah daripada memecah masuk bilik hotel. Antaranya adalah dengan meletakkan sesuatu benda pada tombol untuk menyukarkan besi atau peralatan yang digunakan penceroboh daripada membuka pintu dengan mudah, seperti tuala dan gulungan tisu. Selain itu, seorang pelayar TikTok turut berkongsi cara yang sering dipraktikkannya setiap kali mendaftar masuk ke hotel, iaitu dengan membawa sendiri door stopper. Alat tersebut diletakkan di bawah lubang kecil antara pintu dan lantai, di mana ia berfungsi menghalang pintu daripada dibuka penceroboh. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji perkongsian video berkenaan untuk tujuan peringatan bersama memandangkan ramai yang tidak begitu peka. "Aduhai.... hotel pun tak selamat. Ini mesti hotel bajet. Kalau lima bintang, security tip top... tapi lebih baik mencegah. "Ataupun boleh letak kerusi atau apa-apa dekat depan pintu. "Kalau ada berlaku apa-apa benda buruk, boleh saman hotel tu," demikian antara komen netizen.-CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT