Sindiket kantoi menyeludup ular sawa dengan membalut reptilia itu dan dimasukkan ke dalam stoking wanita. Reptilia itu ditemukan tersorok di dalam sebuah treler ketika operasi penyeludupan dijalankan di sempadan Turkiye dan Bulgaria.
Pegawai Kastam di persimpangan sempadan Kapikule, berkata, pihaknya berjaya merampas 28 ekor ular sawa. Daily Sabah melaporkan, kegiatan itu dihidu selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam sebelum menggeledah sebuah treler milik suspek yang hanya dikenali sebagai IK. Reptilia itu ditemukan disembunyikan di dalam beg kain dan ia dibalut dan dimasukkan di dalam stoking. Seekor daripada 28 ular sawa yang ditemukan itu sudah mati. Kedua-dua pemandu, IK dan seorang penumpang, FÇ kemudian ditahan untuk membantu siasatan. Media Bulgaria melaporkan, trak itu tiba dari Jerman.
Ular kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Veterinar sebelum diserahkan kepada Pejabat Cawangan Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Taman Negara Edirne. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT