Suri rumah berulang alik lima kilometer setiap hari untuk mengambil bekalan air di mesin penapis air di kawasan Felda di sini sejak tiga bulan lalu. Norsiah Khalid, 53, melakukan rutin tersebut menggunakan motosikal memandangkan suaminya, Norizan Izhak, 58, tidak dapat bergerak disebabkan strok sejak setahun lalu.
Menurut Norsiah, bekalan air di rumahnya mula terjejas sejak tiga bulan lalu apabila sungai dan kolam di belakang kediaman mereka mulai kering disebabkan oleh faktor kemarau. “Sebelum ini, kami hanya menggunakan bekalan air dari sungai dan kolam di belakang rumah untuk kegunaan setiap hari. “Namun apabila sungai dan kolam itu mula kering sejak tiga bulan lalu, saya terpaksa mengambil bekalan air di Felda Mata Ayer memandangkan suami juga tidak dapat bergerak kerana strok,” katanya.
Tambah Norsiah, dia terpaksa berulang alik dua ke tiga kali sehari bagi mengambil bekalan air berkenaan untuk kegunaan mereka sekeluarga. Ujarnya, dia menetap di rumah itu bersama suami dan tiga cucu yang masih bersekolah. “Kami menjaga sendiri tiga cucu bagi mengambil tanggungjawab sebagai penjaga selepas anak saya berdepan masalah keluarga. “Disebabkan itu bekalan air ini amat penting untuk kegunaan mereka ke sekolah pada setiap hari,” katanya. Dalam pada itu, Norsiah berharap agar permasalahan dihadapinya itu mendapat perhatian daripada pihak berkaitan dalam membantu nasib mereka sekeluarga. Tambahnya, sebelum ini, terdapat juga beberapa pihak turut tampil membantu mereka dalam meringankan bebanan dihadapi khususnya membabitkan bantuan kewangan. “Saya hanya merupakan suri rumah dan kami bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperolehi pada setiap bulan untuk menyara hidup,” katanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT