Enam tahun dalam industri seni, Wafariena berdepan dengan banyak rintangan termasuk persepsi dan cakap-cakap belakang yang dilontarkan segelintir warganet. Gara-gara pendedahannya terhadap sebuah produksi yang didakwa tidak menjaga kebajikannya di set penggambaran, pelakon berusia 27 tahun itu mula dicop sebagai manja dan mengada-ngada.
“Saya memang seorang yang manja, itu peribadi. Tetapi dari segi lakonan dan prinsip saya sebagai orang seni, saya bukan seorang yang kaki mengadu dan terbuka menerima tawaran walaupun watak aksi. “Saya tahu bawa diri dan tanpa perlu minta, ramai sahaja kru produksi yang ambil berat serta sering bertanya keadaan saya. Mungkin itu persepsi negatif yang tersebar dalam kalangan pemain industri. “Cuma saya tidak pernah menganggap diri sebagai seorang yang perlukan perhatian dan layanan gred A. Cukup jaga kebajikan sebagai pelakon. Bukan untuk saya seorang sahaja, untuk semua penggiat seni,” katanya kepada Utusan.
Sebelum ini Wafariena pernah menerima rawatan di sebuah hospital di Rawang selepas mengalami kecederaan sewaktu melakukan aksi lagak ngeri dalam babak sebuah drama lakonannya. Dakwa Wafa, kemalangan di set penggambaran itu menyebabkan tisu di bahagian punggungnya cedera, manakala perutnya koyak selain berlaku pendarahan. Lantas adakah dakwaan tersebut memberi impak buruk terhadap karier lakonannya? Mungkin sahaja ada produksi yang takut dan tidak mahu mengambilnya berlakon gara-gara pendedahannya?
Apatah lagi, ada juga yang beranggapan dia tidak boleh menjayakan karakter berat dan aksi kerana takut dengan kecederaan di set penggambaran. Akhirnya itu boleh mengganggu-gugat proses penggambaran. “Saya terbuka sahaja untuk berlakon watak aksi. Bukanlah tidak boleh, itu mengada-ngada. Cuma saya akan lebih berhati-hati. Kalau boleh disediakan stunt-man, lebih bagus. Apa yang saya boleh buat, saya akan lakukan. “Selepas insiden tersebut, saya selalunya akan tanya jalan cerita, watak dan keperluan beraksi. Dari situ kita akan berbincang bagaimana untuk merealisasikan babak itu. “Saya sukakan cabaran. Tak serik pun untuk menerima watak aksi. Sebagai pelakon, saya perlu cabar diri tetapi saya tahu had diri sendiri. Apa yang berlaku bukan saya minta, itu adalah satu kemalangan,” ujarnya.
Melakonkan watak Salina dalam filem Jemputan Ke Neraka yang akan mula ditayangkan Khamis ini, Wafa meluahkan rasa teruja kerana karya terbitan AN Universal merupakan karya layar perak pertamanya. Tidak mahu membongkar jalan cerita dan karakternya dalam filem tersebut, pelakon itu bagaimanapun mengakui ada kesukaran yang perlu ditempuhi terutama memahami cara kerja orang filem.
“Mestilah ada susahnya. Saya tak boleh nak cerita panjang sebab watak saya agak crucial. Cuma bila bekerja dalam filem, saya dapat rasakan perbezaannya apabila berlakon drama. Jadi banyak ilmu saya raih. “Berlakon pula dengan nama-nama besar antaranya Janna Nick dan Sharifah Sakinah, pastinya itu memberi saya lebih kredit dan keyakinan. Saya teruja untuk menantikan reaksi perminat terhadap filem itu. “Dalam pada masa sama, melihatkan sambutan peminat terhadap filem tempatan, saya harap momentum sama akan berteruskan untuk filem Jemputan Ke Neraka ini. Itu harapan besar saya,” ujarnya.
Mengakui langkahnya dalam dunia seni masih banyak cabaran untuk ditempuhi, jelas anak kelahiran Penang itu dia tidak akan pernah berhenti untuk menggali lebih banyak ilmu dan berusaha menjadi pelakon terbaik. “Bagi saya kalau cakap pasal struggle itu, masing-masing ada cabaran sendiri. Semua orang ada impian sendiri dan berebut-rebut untuk realisasikannya."-CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|