"Memaafkan abah menenangkan jiwa, malah Ma (ibu) juga tidak pernah mengajar kami melupakan abah sebagai bapa kandung kami,"kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan yang pernah melalui pelbagai episod sukar dalam hidup selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa kandung, tiga belas tahun lalu.
Dalam kejadian di rumah nenek di Kampung Sekayu, di sini, Nurul Dahyatul Fazlinda, 21, adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 15, dan ibu mereka, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 41, mengalami kecederaan selepas disimbah cuka getah. Peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam bukan saja pada emosi mereka malah rupa paras apabila ia meninggalkan parut kekal. Bagaimanapun, kasih sayang dan hormat Nurul Dahyatul Fazlinda dan Muhammad Irfan Firdaus kepada bapa mereka, Mat Haizan Mat Yassin, 45, sedikit pun tidak berubah. Berkongsi perkembangan terkini, Nurul Dahyatul Fazlinda berkata, dia menjalani kehidupan seperti biasa namun mengakui 'kesakitan' lalu masih tetap dirasai tetapi mengakui tiada dendam pada bapa.
Menurutnya, episod sukar dilalui ketika zaman kanak-kanak kerana kejadian berlaku sewaktu dia berusia lapan tahun apabila sering diejek dengan pelbagai gelaran yang merobek hati. "Apabila memasuki fasa remaja dan sekolah menengah, saya berada dalam persekitaran yang sangat positif. Rakan, guru dan orang sekeliling selalu beri semangat kepada saya. Jadi saya cuba buang rasa malu dan rendah diri dengan keadaan fizikal ini. "Saya dan Irfan (nama panggilan Muhammad Irfan Firdaus) mahu melupakan kejadian itu dan kami lebih suka berfikiran positif dan ikhlas menerima kejadian itu sebagai ujian dalam hidup kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini. Sebelum ini dilaporkan, gadis berkenaan bersama ibu dan adik lelaki melecur akibat disimbah cuka getah oleh bapa kandung dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 15 Ogos 2010. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidung mengecut sekali gus mengganggu pernafasannya. Nurul Dahyatul Fazlinda berkata, mereka sangat sedih apabila masih ada segelintir pihak yang mengecam bapanya biarpun lelaki itu sudah menerima hukuman atas tindakannya itu. "Saya sedih apabila masih ada menyalahkan abah, kami adik-beradik tidak pernah membuang abah kerana kejadian itu yang tidak sengaja terkena kami, malah abah juga mengakui kesalahan dan sehingga kini selalu meminta maaf kepada kami. "Satu kekhilafan abah bukan bermakna saya perlu membencinya dan hubungan kami masih baik, malah setiap kali cuti kami empat beradik pulang ke rumah abah," kata anak kedua daripada empat beradik itu yang kini membantu ibunya berniaga makanan. Menurutnya, kesihatannya baik cuma dia mengalami kesukaran bernafas terutama ketika demam, selesema dan menangis kerana saluran hidungnya semakin sempit ketika ini. Katanya, sepatutnya dia akan menjalani pembedahan plastik untuk merawat wajah yang memerlukan kos RM100,000 pada 2016, namun ia tertangguh kerana keluarganya tidak berkemampuan. "Antara kami bertiga, kecederaan saya yang paling teruk apabila melecur di muka dan dada, manakala Irfan sedikit di pipi. Justeru saya berharap dapat menjalani pembedahan itu. "Besar harapan saya kali ini ada pihak yang betul-betul sudi membantu kami sehingga pembedahan dilakukan. Kalau selesema, demam atau menangis tak boleh bernafas guna hidung terpaksa bernafas dengan mulut," katanya pernah menjalani satu pembedahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ketika berusia sembilan tahun. Gadis itu berkata, kulit mukanya akan terasa perit ketika cuaca terlalu panas dan jika berpeluh kulitnya juga akan gatal-gatal. "Saya juga mahu seperti wanita lain dan tipulah kalau tiada rasa 'insecure' dengan wanita lain (yang tampil dengan penampilan menarik). "Bahagian hidung saya yang terjejas teruk dan jika hidung 'ok' (tidak mengganggu pernafasan) saya rasa tak kisah kalau wajah saya seperti ini sampai bila-bila pun, sebab itu saya sangat memerlukan pembedahan terutama untuk hidung," katanya. Maaf cerminan kekuatan diri Pendekatan memaafkan seseorang yang pernah melakukan kesalahan mampu memberi kekuatan untuk menerima ujian berat selain meneruskan kehidupan dengan lebih positif. Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, tindakan memaafkan seseorang juga bagus untuk pemulihan diri daripada segi pemikiran, emosi dan tindakan. "Memaafkan bukan untuk melupakan sesuatu perkara kerana peristiwa itu dianggap sebagai tragedi hitam yang berlaku, namun hidup perlu diteruskan," katanya ketika dihubungi. Mengulas lanjut, Siti Fatimah berkata, kesan trauma memerlukan tempoh masa lama berdasarkan faktor tahap kecederaan, sumber sokongan moral dan sosial, kecacatan serta personaliti seseorang mangsa itu. Bagaimanapun katanya, sokongan moral tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan rakan yang menunjukkan keprihatinan dan cakna adalah paling penting bagi membantu penyembuhan emosi. "Situasi traumatik adalah satu peristiwa yang menyebabkan kecederaan terhadap fizikal, emosional, psikologikal atau mental yang dialami seseorang individu itu. "Jadi rawatan psikologi kaunseling trauma membantu mengurangkan stres, ketegangan dan penderitaan emosi," katanya. Ibu terima takdir menimpa anak "Sebagai ibu saya sedih melihat wajah anak yang berubah selepas kejadian itu tetapi bersyukur dia menjalani kehidupan dengan baik dan dapat mengatasi rasa malu," kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang. Che Ku Zaimah adalah mangsa simbahan asid bekas suaminya dalam kejadian pada 14 Ogos 2010 yang turut menyebabkan kecederaan parah pada anak perempuan keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda. Turut cedera dalam kejadian itu, anak lelakinya, Muhammad Irfan Firdaus yang cedera di bahagian muka. Che Ku Zaimah berkata, anaknya terutama Nurul Dahyatul Fazlinda disifatkan sangat tabah dan kuat semangat yang mana kejadian silam itu tidak dinafikan turut mengganggu emosi mereka sekeluarga. Bagaimanapun, dia juga mengambil pendekatan sama dengan anaknya untuk menerima takdir itu dengan reda, malah mengakui tiada dendam dengan bekas suami biarpun kejadian itu bukan mudah dilupai. "Sudah 13 tahun berlalu dan trauma sudah tidak seperti sebelum ini. Kalau dulu ada orang lalu dekat rasa takut tetapi sekarang sudah tiada dan emosi juga lebih baik sekarang. "Saya ambil pendekatan positif, saya anggap ini takdir saya, malah bekas suami juga sudah menerima hukuman mengikut undang-undang. Lagipun kami sudah ada kehidupan masing-masing. "Anak juga memberi peluang kepada bekas suami dan dia juga mengambil berat terhadap empat anak. "Saya sendiri ambil pendekatan tidak menghalang dia berjumpa dengan anak kerana mereka tetap anaknya," katanya yang berkahwin baru pada 2015. Katanya, biarpun anaknya dapat menerima keadaan fizikalnya itu, namun sebagai ibu dia mengharapkan yang terbaik terutama Nurul Dahyatul Fazlinda yang mengalami kesukaran bernafas. "Kedua-dua anak pernah menjalani satu pembedahan dan selepas itu kami sudah tidak meneruskan rawatan atas beberapa sebab termasuk tiada kenderaan ke hospital. "Sekarang ini lubang hidung Nurul Dahyatul Fazlinda semakin sempit. Kalau ada bantuan untuk pembedahannya itu saya sangat menghargainya," katanya. -CARI Sumber: Hrian
|
Carcosa replied at 21-6-2023 09:30 PM
Fuh. Kalau aku, mati idup balik, mati lagi, hidup lagi sekali, punnn aku takkan maafkan. Lantokla ka ...
Carcosa: Fuh. Kalau aku, mati idup bali ...
Suchi replied at 21-6-2023 09:48 PM
Kan, dasat sungguh bapak dia nih pun bini dah bawak keluar anak2 duk umah mak sendiri pun masih ta ...
Carcosa replied at 21-6-2023 09:30 PM
Fuh. Kalau aku, mati idup balik, mati lagi, hidup lagi sekali, punnn aku takkan maafkan. Lantokla ka ...
ADVERTISEMENT