Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa atas lima pertuduhan memperdaya dan menipu mangsa dalam urusan jual beli motosikal dan telefon bimbit bernilai hampir RM20,000 bulan lalu, dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Mohammad Norikhwan Adha Mohamad Sofian, 26, mengaku bersalah selepas kesemua lima pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosni. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan lima mangsa dengan membuat transaksi bayaran yang tidak wujud ke dalam akaun bank mangsa sebagai bayaran pembelian sebuah motosikal Yamaha 125ZR bernilai RM10,500, tiga jenis telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai RM3,750, iPhone 12 Pro Max (RM2,550) dan iPhone 11 beserta 11 barangan telekomunikasi bernilai RM2,569.
Tertuduh sama turut didakwa memperdayakan seorang lagi mangsa dengan membuat pembayaran secara dalam talian untuk pembelian pakaian lelaki bernilai RM507.50. Dengan itu, tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan kesemua barangan itu jika tidak diperdayakan sedemikian. Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar Nilai antara pukul 5.02 petang 17 Mei hingga pukul 7.36 malam, 18 Mei lalu. Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula dari tarikh sabitan terhadap tertuduh atas pengakuan bersalah bagi kelima-lima pertuduhan. Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman dan M. Parameswary memohon hukuman penjara paling minimum dikenakan. Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak sebelum ini bekerja sebagai anggota TLDM tetapi telah diberhentikan kerana gagal hadir bertugas. “Saya merayu agar dihantar ke Penjara Tapah, Ipoh kerana ada ahli keluarga dipenjarakan di sana,” katanya yang turut menyara ibu bapa uzur. Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman. Sementara itu, tertuduh sama bersama dua rakannya Muhammad Asyraff Zaini, 27, dan Abdur Rahman Zaini, 30, turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 6.3 gram. Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan kes akan disebut semula 21 Ogos depan. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT