BANGKOK, Thailand – Seorang bapa berusia 73 tahun membunuh anak lelakinya yang berumur 46 tahun di sebuah pondok di tengah sawah di wilayah Chaiyaphum, timur laut Thailand. Thaiger melaporkan, anak lelakinya dibebaskan dari penjara tiga hari sebelumnya dan mengugut mahu membunuh bapanya.
Selepas melakukan jenayah, warga emas tersebut melarikan diri tetapi kemudian menyerah diri di sebuah balai polis di wilayah Khon Kaen untuk memberi keterangan. Mayat mangsa ditemui berhampiran sebuah pondok buluh dan bapanya berkata, anaknya baru sahaja dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman atas kesalahan dadah dan telah pulang ke rumah tiga hari lalu. Sepanjang tempoh tiga hari, si anak tidak membantu melakukan apa-apa kerja atau berhenti terlibat dengan dadah. Mangsa juga kerap bertengkar dengan bapanya, lapor portal berita KhaoSod.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila si anak bersemuka dengan bapanya dan mengugut untuk membunuh warga emas itu. Dalam satu pertengkaran, lelaki tua itu mengambil cangkul dan memukul anaknya tiga kali dari belakang, menyebabkan si anak rebah dan tidak bergerak. Bapanya kemudian mencampak cangkul itu ke dalam kolam di belakang pondok dan melarikan diri dari tempat kejadian sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa. Polis masih belum mendedahkan tuduhan terhadap warga emas tersebut tetapi Kod Jenayah Thailand menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah melakukan pembunuhan boleh dihukum mati atau penjara selama 15 tahun hingga 20 tahun. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT