Seorang remaja perempuan warga Myanmar dipercayai diupah menjadi jurujual kedai runcit secara paksa di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kuala Lumpur, diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi yang dilaksanakan pada 20 Jun lalu.
Jabatan itu dalam kenyataannya berkata, remaja tersebut diselamatkan Unit Risik Operasi Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyelundupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. “Operasi dijalankan melibatkan mangsa berumur 15 tahun yang merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sebuah premis perniagaan runcit. “Siasatan awal mendapati mangsa telah diupah bekerja di premis runcit itu oleh majikannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, JIM bertindak atas aduan orang awam dan menyerbu premis terbabit sebelum berjaya menyelamatkan mangsa. “Pemeriksaan lanjut mendapati majikan mangsa berusia 47 tahun merupakan seorang warga tempatan turut dipanggil untuk dirakam keterangan atas kesalahan mengupah remaja asing di kedainya,” katanya. Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Sumber: MalaysiaGazette |
ADVERTISEMENT