Johor Bahru: Pencemaran bau yang dilaporkan berlaku di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini, petang tadi, dipercayai berpunca daripada parit bersebelahan sebuah kilang di kawasan berkenaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan, berkata hasil pemantauan, pengesanan dan persampelan yang dilakukan, pihaknya mendapati parit itu tercemar dengan bahan buangan berjadual. "Pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba di tempat kejadian mengesahkan berlaku pencemaran bau di kawasan parit bersebelahan sebuah kilang. "Ada air bertakung dan bau busuk, mereka kemudian membuat pemantauan serta menghubungi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk hadir ke lokasi.
"Pasukan 'Hazardous Material Unit Team' (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor turut hadir ke lokasi bagi membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS. "Hasil awal mendapati parit itu tercemar dengan bahan buangan berjadual seperti akrolein, benzena, karbon dioksida, metana dan etilena oksida," katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, lokasi insiden kemudian diambil alih pihak JAS susulan kerja pengesanan tiada bahan sepadan dengan hasil dijumpai pada peringkat awal. "Kita menerima panggilan kecemasan berhubung pencemaran bau itu pada jam 1.29 tengah hari dan operasi tamat pada jam 6.59 petang," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT