Tumpat: "Aqil Rizqi antara anugerah terindah buat saya dan isteri, malah dia sempurna dan paling comel di mata kami biarpun orang lain melihatnya dengan berbeza," kata bapanya Mohd Azaharie Che Kadir, 41.
Aqil Rizqi, 11, yang didiagnosis penyakit Sindrom Cruzon sejak lahir iaitu kecacatan dengan kelainan bentuk tengkorak kepala yang mana proses pengerasan tengkorak kepala bayi dalam kandungan terlalu cepat. Ia sekaligus menyebabkan bentuk kepala, wajah bayi mempunyai kelainan dan otak tidak boleh berkembang dalam tempurung kepala. Kanak-Kanak itu turut diuji apabila lehernya juga ditebuk bagi tujuan 'bypass' pernafasan, malah mata kanan hampir terkeluar dan buta akibat tekanan dalam tengkorak kepala selain masalah pendengaran dan tidak boleh bercakap dengan sempurna. Mohd Azaharie berkata, keadaan fizikal Aqil Rizqi selalu menjadi perhatian ketika berada di tempat umum, malah mengakui ada individu yang memberikan maklum balas negatif terhadap anaknya.
Menurutnya, namun dia dan isteri, Nor Maizura Sidek, 37, tidak pernah berasa malu dengan keadaan Aqil Rizqi serta tetap membawa anak sulung daripada tiga beradik itu bergaul dengan masyarakat. "Kami sudah biasa mendengar panggilan 'hantu' dan 'alien' merujuk kepada Aqil Rizqi tetapi biasanya kanak-kanak yang cakap. Saya tidaklah terasa hati sangat sebab kanak-kanak tidak tahu apa, masih kecil. "Tetapi apabila melihat reaksi orang dewasa yang seolah-olah geli melihat Aqil Rizqi, ia mengguris hati, namun kami reda dengan ujian Allah SWT dan kekurangan anak tidak pernah mengubah kasih sayang padanya," katanya ketika dihubungi. Katanya, lebih menyedihkan apabila Aqil Rizqi juga sudah mula memahami situasi itu dan mempunyai rasa rendah diri apabila dia akan menyorok di belakangnya setiap kali ada individu memandang kanak-kanak itu. "Dia fobia dan saya selalu saya cakap dengannya yang dia 'ok'. Kami tetap bawa dia keluar untuk membina keyakinan dirinya dan mahu dia bergaul serta berada dalam masyarakat," katanya yang tinggal di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu. Bercerita lanjut mengenai penyakit anaknya, Mohd Azaharie berkata, ketika berusia dua tahun, Aqil Rizqi pernah menjalani pembedahan major pada tengkorak kepala untuk membuat ruang otak mengembang. Dia yang juga kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan berkata, tanpa pengembangan otak menyebabkan saluran pernafasan dan pendengaran anaknya menjadi sempit, malah Aqil Rizqi tidak boleh bercakap, mendengar dan bernafas dengan sempurna. "Kami memang tak tahu keadaan anak lagipun ketika itu kami juga tidak membuat pemeriksaan imbasan kandungan secara terperinci, hanya yang biasa saja. "Apabila dia dilahirkan, doktor terkejut melihat wajah Aqil Rizqi dan ketika itu juga anak sesak nafas. "Pada mulanya kami memang sedih, bukan kerana malu atau tidak dapat menerimanya tetapi bimbang keadaan dan masa depannya terutama apabila kami tiada nanti. "Sebab itu kami mahu membina keyakinan dirinya dan mahu dia berani berada dalam komuniti kita, tidak berasa terasing dengan keadaan fizikalnya. Anak juga bersekolah Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sri Wakaf Bharu," katanya. Katanya, Aqil Rizqi memakai 'tracheostomy tube, saction tube dan sunction machine yang perlu ditukar selalu, namun anaknya hanya menjalani pemeriksaan secara berkala saja, tiada rawatan lain setakat ini. "Aqil Rizqi boleh menguruskan diri dan perkembangan diri juga baik, dia suka bersembang walaupun kita sukar memahami butir percakapannya," katanya memberi tahu isterinya sanggup berhenti kerja untuk menjaga anaknya itu. -CARI Sumber: Harian Metro
|
dua_chzy replied at 20-6-2023 08:51 PM
Aiols amaza anak begini mampu hidup lama. Semoga terus diberi kesihatan yang baik supaya lebih lama ...
BartholomewKuma replied at 20-6-2023 01:01 PM
Respek pada mak pak dia susah payah besaqkan dia
dua_chzy replied at 21-6-2023 01:28 AM
Yeap. Dah la budak ni pakai trachy tube. Belanja tinggi woo...Jaga pun cerewet nak mampus.
Bersyu ...
rosedemon replied at 21-6-2023 08:58 AM
knp yg kaya2 jrg dpt anak cacat sakit ek
ADVERTISEMENT