Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas sejumlah 18 tan gelatin dari Pakistan yang cuba diseludup masuk menerusi Pelabuhan Klang, pada Jumaat lalu.
Gelatin yang dianggarkan bernilai RM635,383.33 itu dirampas hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS pada jam 11.30 pagi. Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 18,000 kilogram (kg) gelatin dibawa masuk itu tidak mengikut syarat rawatan yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan di dalam import permit. "Perbuatan mengimport dagangan yang tidak mematuhi syarat permit yang dikeluarkan oleh MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (2), akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab dengan barangan dagangan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, gelatin berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut. Katanya, MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian yang diimport mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. "Langkah ini bagi memastikan barang dagangan adalah bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat dan seterusnya menjamin keselamatan makanan," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT