Golongan gelandangan kebiasaannya berpeleseran di kaki lima, depan kedai dan di lorong-lorong. Namun kini, segelintir daripada mereka sudah beralih ke surau serta menggunakan kemudahan awam untuk membersihkan diri.
Hasil tinjauan Majoriti di sebuah surau awam di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, beberapa gelandangan dilihat menumpang tidur di premis berkenaan. Hasil tinjauan turut menemui wanita dipercayai kurang siuman tiba-tiba keluar daripada tandas lelaki selepas usai membersihkan diri. Seorang peniaga, Mohd Raihan Abdul Ghani, mendedahkan masalah tersebut berlaku sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu hingga kini. Katanya, kehadiran mereka di sekitar Terminal 17, Shah Alam Selangor itu secara tidak langsung menyukarkan orang awam menggunakan kemudahan seperti tandas dan surau kerana ia berbau kepam dan kotor.
"Di sini selain ada gelandangan, ada juga orang gila yang menumpang di sini. Ada masanya dia (orang gila perempuan) selamba mandi di tandas lelaki. "Dulu ramai (gelandangan) di Kuala Lumpur sahaja, sekarang di Shah Alam pun dah ramai," katanya kepada Majoriti. Peniaga lain yang ingin dikenali sebagai Kalsom berkata, ada masanya jumlah gelandangan yang berteduh di surau tersebut boleh mencapai sehingga lapan orang dalam satu masa. Dia yang berniaga sejak 22 tahun lalu itu turut memaklumkan pernah ada kes penagih dadah turut menumpang di surau berkenaan, namun kemudiannya ditahan polis. "Kita tidak kisah untuk beri makan (percuma), tapi agak mengganggu dari kebersihan kerana ada yang datang dengan luka yang banyak pada badan. "Kasihan juga mereka, tapi ada yang datang dengan kudis. Jadi agak kurang bersihlah," katanya. Dalam pada itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Shidah berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tentang gelandangan tersebut, namun golongan berkenaan sering dilihat muncul kembali. "Saya baru setahun berniaga di sini, tapi penat jugalah kalau asyik buat aduan dan isu masih tidak selesai," katanya. Sementara itu, Majoriti dalam usaha menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu tersebut. Sumber: Majoriti |
ADVERTISEMENT