Ada individu sanggup merisikokan diri dengan membeli produk farmaseutikal seperti pil menggugur janin dengan mudah secara dalam talian tanpa preskripsi doktor yang tidak diketahui sama ada ia tulen atau tiruan.
Seorang gadis yang dikenali sebagai Nita, 21, mengakui, dia bagaikan mati hidup semula apabila mengalami pendarahan yang teruk selepas mengambil sejenis pil kononnya berkesan untuk menggugurkan janin yang dibeli secara online. Mimpi ngeri itu bermula selepas dia disahkan hamil selepas terlanjur dengan teman lelakinya. Bagi mengelak malu dan disisihkan keluarga, gadis itu membuat carian di internet untuk membeli pil gugur janin secara online. “Pada mulanya, kawan-kawan nasihatkan saya supaya membeli ubat ‘turun darah’ di kedai kerana ia dapat membantu menggugurkan kandungan, tetapi ubat tersebut tidak berkesan.
“Setelah diperiksa, kandungan saya rupa-rupanya sudah mencecah lapan minggu. Jadi, ubat itu sudah tidak berkesan, “Disebabkan terdesak kerana perut semakin membesar, saya membeli pil gugur janin secara dalam talian dan berhabis hampir RM600,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. Cerita Nita, selepas berkomunikasi dengan penjual tersebut, dia bersetuju untuk membeli ubat berkenaan secara online. Jelasnya, dia berasa lega kerana penjual ubat tersebut berjanji akan membantunya untuk menggugurkan janin tersebut. “Selain itu, peniaga terbabit turut memberi jaminan bahawa ubat itu adalah tulen dan tiada sebarang kesan sampingan temasuk jika mahu hamil pada masa akan datang,” ujarnya. “Selepas ambil ubat itu, saya mula mengalami pendarahan yang kemudiannya berlarutan hingga seminggu. Bila saya bertanya kepada penjual, dia beritahu itu adalah kesan biasa, tetapi saya rasa tidak sedap hati dan seperti mahu pitam. “Walaupun takut, saya gagahkan diri berjumpa doktor. Doktor tersebut kemudian memaklumkan saya kehilangan darah yang banyak. Jika terlambat jumpa doktor, mungkin nyawa saya sudah melayang,” katanya lagi. Sementara itu, seorang lagi gadis dikenali sebagai Ina, 23, memberitahu, dia menanggung penyesalan seumur hidup kerana proses pengguguran janin tidak berjaya akibat pengambilan sejenis pil. “Saya menyedari hamil selepas tidak datang haid selama sebulan, saya beritahu pasangan, tetapi dia enggan bertanggungjawab. Disebabkan takut, saya membeli pil gugur secara online yang berharga RM400. “Namun, apa yang terjadi sebaliknya apabila ubat tersebut adalah tiruan. Selepas itu, saya membeli pil sama daripada penjual lain pula. Disebabkan kandungan sudah masuk trimester kedua, saya memerlukan ubat gugur yang lebih ‘kuat’, harganya juga mahal. “Disebabkan pengambilan ubat gugur itu juga, bayi yang saya lahirkan mengalami kecacatan pada anggota badan. “Sedih memang sedih. Tapi, saya anggap ia sebagai balasan ke atas perbuatan saya,” katanya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT