Ampang Jaya: Pihak polis menerima laporan seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pekerja pembersihan ditikam sekitar pukul 10 malam. Sekumpulan lelaki warga asing bertindak menikam rakan senegara di Tepi Jalan Pandan Cahaya 2/2, Pandan Cahaya, di sini, Jumaat lalu disebabkan tidak puas hati jualan sampah dikumpul tidak dibahagi sama rata
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 9 malam ketika mangsa baru sahaja pulang daripada majlis kenduri rumah majikannya di Kampung Pandan dan terus ke Jalan Cahaya untuk memandu lori sampah. “Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didatangi sekitar lima rakan sekerjanya yang juga warga asing lalu mencederakan mangsa di sebelah kiri pipi dan lengan kiri mangsa sehingga berdarah dengan menggunakan pisau.
“Sejurus itu, kesemua suspek terus melarikan diri dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan bawah lengan sebelah kiri serta pipi sebelah kiri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini. Ekoran kejadian itu, Azam memaklumkan unit forensik dari Bukit Aman yang hadir ke tempat kejadian berjaya menjumpai sepasang kasut dan sebilah pisau berhulu hitam serta empat kesan darah di atas jalan. “Bertindak atas siasatan dilakukan, sekitar pukul 5.10 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya menyerbu suspek di sebuah Flat di Taman Impian Warisan, Hulu Langat, kelmarin “Lima lelaki warga asing berusia 23 hingga 27 tahun diberkas manakala dua orang suspek positif methamphetamin. “Kesemua mereka didapati tidak bekerja dan tiada rekod kesalahan lampau. Reman terhadap semua suspek sehingga Rabu ini,” katanya. Justeru, Azam memaklumkan pihaknya masih mengesan rakan sejenayah suspek yang turut berada di tempat kejadian untuk membantu siasatan. “Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT