Sekumpulan ibu bapa nekad memasang sepanduk dalam usaha menggesa guru besar di sebuah sekolah rendah di Paloh Hinai, Pekan, Pahang, dipindahkan daripada sekolah berkenaan. Menerusi video dikongsikan di laman Twitter @nanmanjoi 8715 itu, guru berkenaan dipercayai enggan menjelaskan secara terperinci berhubung penggunaan wang hampir RM30,000 yang dikeluarkan dari akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Difahamkan, ibu bapa berkenaan membuat siaran langsung di Facebook sebelum menggantung sepanduk tersebut. Berdasarkan tulisan tertera pada sepanduk itu, mereka mengakui langsung tidak berpeluang untuk menyuarakan pandangan berhubung isu pengeluaran wang tersebut semasa berlangsungnya mesyuarat agung PIBG. "Kami ibu bapa memohon KPM (Kementerian Pendidikan), JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Pekan memindahkan segera guru besar dari sekolah ini bagi mengembalikan kejayaan dan kecemerlangan sekolah.
"Kami ibu bapa tidak diberi ruang untuk bersuara ketika mesyuarat agung PIBG dijalankan, adakah itu perbincangan? "Tiada provokasi, kami semua saksi," katanya. Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengulas mengenai isu itu. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT