Sejak beberapa hari lalu, sebuah video menjadi tular di aplikasi sembang WhatsApp mengenai kematian dua kanak-kanak di sebuah daerah di Jakarta Barat, Indonesia selepas didakwa cedera akibat letupan telefon pintar yang sedang dicas.
Menerusi klip berdurasi 30 saat itu, beberapa individu dilihat sedang membawa mayat kanak-kanak yang rentung kerana dipercayai menggunakan telefon pintar yang sedang dicas itu hingga menyebabkan alat tersebut meletup. Namun, rakaman tular tersebut sebenarnya merupakan klip lama yang ditularkan semula dan turut mengandungi maklumat salah berkenaan kejadian terbabit. Media Indonesia sebelum ini melaporkan insiden itu berlaku pada 3 Mei lalu di Kampung Bandar Sitirejo III, Daerah Medan Amplas, Kota Medan dan bukannya di Jawa Barat, Indonesia seperti yang didakwa dalam video tular berkenaan.
Jelas laporan tersebut, punca kejadian terbabit juga bukanlah seperti didakwa kerana kedua-dua kanak-kanak terbabit yang masing-masing berusia tiga dan empat tahun itu maut akibat bermain pemetik api gas. "Mangsa terperangkap dalam bilik, pintu berkunci kerana ibu bapa mangsa sedang berjualan pasar," menurut laporan yang memetik kenyataan daripada Ketua Kampung Bandar Sitirejo III yang dikenali sebagai Ari. Katanya, pintu rumah mangsa juga dikunci dari luar sehingga menyebabkan kedua-dua kanak-kanak malang itu terkurung di dalam bilik ketika kejadian. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT