Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi turut berhenti membantu penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Danga Bay, pagi tadi. Difahamkan, kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke pejabat, usai melakukan tinjauan jalan di Senai dan Skudai.
Dalam kejadian pukul 8.49 pagi itu, beliau bersama-sama dengan petugas perubatan dan anggota bomba dan penyelamat membantu mangsa di lokasi kejadian. Utusan Malaysia dimaklumkan, isteri beliau, Datin Sharmin Fazlina Mohd. Shukor yang turut kebetulan melalui jalan berkenaan lebih awal menghentikan kenderaannya untuk membantu mangsa. Selepas memastikan mangsa diberi rawatan awal oleh petugas perubatan dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin di lokasi kejadian, Onn Hafiz meneruskan perjalanan ke pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Johar memberitahu, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 8.49 pagi. “Seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian. “Kemalangan tersebut melibatkan seorang lelaki yang cedera selepas motosikal jenis Honda 150R yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari bawah kereta sebelum menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan susulan. Operasi tersebut tamat pada pukul 9.16 pagi. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT