Penduduk mendedahkan lelaki yang menetak leher dan kepala ibunya menggunakan kapak hingga mati pernah merosakkan beberapa kenderaan penduduk Taman Temiang Utama di sini, tahun lalu. Penduduk yang enggan dikenali berkata, mereka yang tinggal di situ mengetahui suspek mempunyai masalah mental namun jarang melihatnya di luar kawasan rumah.
"Kejadian ini berlaku beberapa tahun lalu menyebabkan kereta milik penduduk taman ini rosak, cermin pecah. Selepas melakukan perbuatan itu, suspek melarikan diri ke rumah abangnya di Sungai Abong, namun polis menahannya selepas penduduk membuat laporan. "Dia (suspek) cukup dikenali penduduk di sini. Ahli keluarganya pula tidak bergaul dengan orang lain mungkin kerana malu dengan perbuatan suspek. "Saya tidak menyangka tindakan suspek hingga ke tahap ini (membunuh ibunya). Itupun selepas dimaklumkan jiran lain mengenai kejadian ini malam tadi," katanya ketika ditemui di taman terbabit.
Menurutnya lagi, ketika kejadian dia mendapat tahu salah seorang cucu mangsa berusia belasan tahun berada di rumah namun berjaya keluar menyelamatkan diri. "Tidak ramai ahli keluarganya dalam rumah ketika itu dan cucu mangsa kemudian memberitahu jiran sebelum menghubungi polis," katanya. Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berusia 56 tahun memberitahu, mereka tidak beberapa mengenali ahli keluarga suspek kerana mereka jarang keluar rumah bercampur dengan penduduk. Katanya, dia terkejut apabila mendapati beberapa kereta polis berada di rumah mangsa malam tadi ketika pulang dari kedai makan. "Terkejut juga apabila diberitahu wanita itu mati dibunuh anaknya," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT