Penerbit, Yusry Makmor memaklum filem Anwar:The Untold Story menerima sambutan daripada pelbagai lapisan umur dan kaum maka ia akan terus ditayangkan di minggu kelima. Sambutan yang diterima terhadap karya terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation itu mengenai jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya cukup membanggakan.
"Alhamdullilah, filem ini berjaya ditayangkan sehingga minggu kelima atas permintaan ramai di seluruh negara. Terdapat juga tayangan khas yang membabitkan peminat-peminat serta penyokong Perdana Menteri kita tanpa mengira kaum. "Ini adalah pencapaian yang sangat luar biasa dan jarang-jarang berlaku apabila filem tempatan ditonton semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak. Ini adalah filem sejarah yang wajib ditonton oleh semua," katanya.
Selain masih ditayangkan di beberapa pawagam, Yusry berkata, filem itu akan menemui seluruh rakyat Malaysia menerusi saluran Astro First pada 1 Julai ini, disusuli dengan rangkaian antarabangsa. "Kami juga sedang dalam perbincangan untuk ditayangkan secara besar-besaran di luar negara termasuk Indonesia," katanya. Filem karya asal Zunar ini diarahkan pengarah Indonesia, Viva Westi. Zunar turut bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama Datuk Mohd Yusoff serta Mohd Maideen dan Aloysius Pillai dari DMY. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT