Pihak berkuasa daerah Lombok Tengah menzahirkan rasa kecewa apabila kerajaan mungkin membatalkan perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Mandalika kerana mengalami kerugian.
Kemungkinan kerajaan membatalkan perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Mandalika kerana mengalami kerugian mengundang rasa kecewa pihak berkuasa daerah Lombok Tengah. Ketua daerahnya, Lalu Pathul Bahri berkata, rancangan itu tidak sepatutnya berlaku atau terlintas di fikiran semua pihak yang terlibat. Katanya, beliau kecewa apabila ada pihak menyatakan penganjur akan mengalami kerugian jika melakukan program di litar berkenaan berikutan sambutan kurang menggalakkan daripada masyarakat. “Saya kecewa bila ada yang beritahu, rugi jika buat program di sini. Jika ada perancangan tidak mahu majukan penggunaan litar ini, seharusnya tidak perlu bina litar di sini.
“Kami di sini sentiasa menyokong apa jua program yang dilakukan di litar Mandalika kerana litar ini mercu tanda masyarakat Lombok, kami mahu litar ini menjadi simbol orang luar kenal Lombok. “Sebelum litar ini dibina, ratusan kubur nenek moyang kami terpaksa dipindahkan dan kini kata ia merugikan?” kata Lalu Pathul. Selain itu, beliau juga menyatakan pentadbiran Lombok sentiasa menyokong pemerkasaan Kawasan Ekonomi Khusus (KEK) di sekitar litar Mandalika. Jelasnya, inisiatif itu memberi peluang kepada penduduk setempat menambah pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan. “Jika tiada lagi program dilakukan di litar ini, para pelabur juga tidak yakin dengan potemsi yang ada dan akhirnya kami juga yang rugi,” tegas Lalu Pathul. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT