SINGAPURA: Pihak pengurusan sebuah resort di Bali, Utama Villa Tulamben mendedahkan seorang lelaki warga Singapura dituduh menjerut leher seekor anak kucing dengan kejam semasa bercuti bersama pasangannya.
“Anak kucing berusia enam minggu di resort kami, Monkey, ditemui mati pada 6 Jun 2023. Selepas dibunuh, anak kucing itu dibuang pula di luar pekarangan resort kami, dalam beg plastik tertera ‘PRIME Supermarket’, dengan kabel dililit pada lehernya,”kata pihak resort melalui Instagram. “Berdasarkan rakaman CCTV kami, kami melihat rentetan insiden yang melibatkan tetamu dari Singapura berusia 31 tahun. Pada awal 5 Jun 2023, dia dilihat berkali-kali datang ke pejabat kami – pada tengah malam, pukul 1.30 pagi, 1.50 pagi dan 2.10 pagi – di mana dia memanggil ‘Monkey’ tetapi percubaannya tidak berjaya." Sungguhpun demikian, pada pukul 10.30 pagi hari yang sama, lelaki terbabit dilihat ‘secara paksa’ membawa anak kucing tersebut keluar dari pejabat resort berkenaan.
Bangkai kucing itu kemudian ditemukan pada pagi keesokan harinya, tidak jauh dari bilik yang dihuni lelaki terbabit, jelas pihak pengurusan resort itu. Identiti warga Singapura yang disyaki menganiaya anak kucing dalam insiden ini, turut didedahkan. Menerusi satu pautan Google Drive, Utama Villa Tulamben mendedahkan tetamu terbabit bernama Jeremy Jerome Francisco. Satu petikan gambar dari laman Lembaga Kejururawatan Singapura seperti yang dilampirkan resort itu, menunjukkan Jeremy seorang jururawat berdaftar yang bertugas di Hospital Besar Sengkang. “Kami sangat terkejut apabila mendapat tahu tetamu itu seorang Jururawat berdaftar di Singapura, yang bekerja di hospital-hospital awam. Sukar untuk memahami mengapa seseorang, yang diberi kepercayaan untuk menjaga orang lain, bertindak kejam terhadap haiwan,” tulis resort itu lagi. Pihak pusat peranginan itu turut menegaskan bahawa kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima, terutama sekali jika pelaku dalam kalangan mereka yang berkhidmat dalam sektor jagaan kesihatan. Dalam pada itu, lelaki warga Singapura yang disyaki membunuh anak kucing resort tersebut menafikan melakukan tindakan tidak bermoral itu. Dalam kenyataannya di Instagram, pihak pengurusan menyatakan mereka ada bertanya langsung tentang ‘Monkey’ kepada tetamu terbabit. Jeremy, menurut mereka, pada awalnya menafikan bahawa dia mengambil anak kucing itu. Namun, setelah petikan gambar dari rakaman CCTV ditunjukkan kepadanya, dia akhirnya mengaku mengambil haiwan itu. Sungguhpun demikian, Jeremy mendakwa bahawa kucing itu melarikan diri dan dia sudahpun mencuba mencarinya sebanyak dua kali di premis resort.-CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT