Cianjur, Indonesia: Pengasas dan pengarah Klinik Harapan Sehat menerima botol plastik kosong daripada penduduk sebuah bandar kecil di wilayah Jawa Barat sebagai pertukaran bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Kata Dr Yusuf Nugraha, inisiatif itu dijalankan bersama isterinya sejak 2009 sebagai usaha menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bersama-sama penduduk setempat. "Saya ingin mencipta program mampan yang bukan saja membantu orang lain, tetapi juga membolehkan orang ramai membuat sumbangan mereka demi planet ini, iaitu melalui sisa plastik. "Saya mahu orang di Cianjur mengambil berat mengenai pemanasan global dan perubahan iklim tetapi ini adalah isu yang terlalu rumit untuk mereka fahami. "Jadi dengan mengurangkan penggunaan, mengitar semula dan menghentikan plastik daripada mencemarkan alam sekitar adalah cara untuk mereka lebih mengambil berat terhadap alam sekitar," katanya.
Dr Yusuf berkata, pesakit hanya boleh menghantar sehingga 400 botol kepada dua syarikat kitar semula plastik dengan kerjasama klinik. Walaupun sumbangan program kepada alam sekitar adalah kecil, impaknya kepada masyarakat setempat sangat mendalam. Ia berjaya menarik perhatian pekerja tidak formal yang miskin, penganggur dan mereka yang menganggap insurans termasuk skim keselamatan sosial kesihatan kerajaan terlalu mahal berikutan berpendapatan rendah. Setiap hari, kira-kira 40 pesakit yang menggunakan program sampah untuk penjagaan kesihatan Harapan Sehat bagi mendapatkan rawatan pelbagai masalah kesihatan daripada jangkitan ringan seperti demam dan batuk tanpa henti kepada penyakit yang mengancam nyawa seperti strok dan serangan jantung. Klinik itu hanya berlesen untuk menyediakan penjagaan primer tetapi dilihat tiada had sejauh mana ia boleh membantu pesakitnya. - AGENSI Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT