Ipoh: Dipercayai cuba merogol seorang remaja, seorang konstabel polis direman selama lima hari bermula hari ini. Kejadian itu berlaku dalam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 23 tahun dan berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah ditahan susulan laporan polis dibuat wanita berusia 19 tahun itu, semalam. Katanya, suspek direman sehingga 22 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan. "Kes cubaan rogol itu berlaku kira-kira 2.30 pagi di dalam tandas stesen minyak," katanya dalam kenyataan petang ini. Menurutnya, polis memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warganya serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana warga polis.
Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT