Petaling Jaya: Lelaki yang cuba membunuh diri selepas membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, kelmarin. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki warga asing berusia 30 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
"Suspek ditahan reman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya," katanya dalam kenyataan hari ini. Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki warga asing yang dipercayai cuba membunuh diri di landasan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan pada 3 Jun lalu, membongkar satu kes pembunuhan dilakukannya di sebuah kondominium di Kelana Jaya.
Serbuan ke atas kondominium itu menemui mayat wanita terbaring dalam sebuah bilik dengan kesan 18 tikaman di beberapa bahagian badan, selain lehernya dikelar. Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, suspek ditangkap polis bantuan di stesen ERL pada 4.50 petang, sebelum dia diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur. Beliau berkata, suspek cuba membunuh diri dengan meletakkan separuh badan di atas landasan, namun gagal selepas ERL yang datang tidak melalui landasan itu, sebaliknya di landasan bersebelahan. Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku mahu membunuh diri selepas membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT