Bekas peserta program Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Mama Rina terpaksa menjalani pembedahan membuang dua jari pada kaki kirinya akibat penyakit diabetes atau kencing manis. Rina yang berusia 60 tahun berkata dia tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit berkenaan sehinggalah melakukan pemeriksaan kesihatan, baru-baru ini.
"Selama ini saya amat menjaga pemakanan. Saya jarang ambil makanan atau minuman manis. Tak sangka tiba-tiba ada kencing manis dan ia teruk sehingga jadi begini. "Rasa macam tidak percaya, tapi saya kena kuat terima dugaan ini," katanya kepada mStar. Rina selamat menjalani pembedahan berkenaan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu pada Rabu lalu dan kini masih menerima rawatan di sana. Rina memberitahu dia mula mengalami bengkak pada bahagian kaki selepas tersepak tong gas sekitar April lalu.
"Saya memang tidak tahu ada kencing manis. Selepas kejadian tersepak tong gas itu kaki mula bengkak dan menanah sehingga saya sendiri tidak dapat tahan sakit. "Saya dapat tahu tentang sakit kencing manis selepas melakukan pemeriksaan baru-baru ini. Sekarang masih di hospital dan menerima rawatan," ujarnya. Berkongsi perkembangan karier, Rina memberitahu dia kini masih aktif terlibat dengan undangan persembahan nyanyian selain sebagai penyanyi jalanan (busker). "Saya memamg dah lama hidup susah. Namun syukur masih ada undangan menyanyi. Saya juga buat persembahan busking," kongsinya. Sebelum itu, salah seorang rakan AF6 iaitu pelakon Ika Nabila turut berkongsi keadaan Rina yang kini memerlukan bantuan bagi menampung kehidupan harian selain kos perubatan. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT