Zizan Razak terpilih menjadi salah satu juri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-6 yang bakal berlangsung di Lalaport Bukit Bintang City Centre, pada 23 hingga 29 Julai depan.
Pengasas MIFFest, Joanne Goh berkata, pemilihan Zizan mampu memberi variasi kepada barisan juri untuk edisi keenam ini. "Berdasarkan perbincangan yang dipersetujui, penganjur sepakat memilih Zizan sebagai juri MIFFest pada tahun ini. "Apabila kami memaklumkan kepadanya tentang perkara itu, Zizan sangat teruja dan bersemangat untuk membuat persediaan menduduki kerusi juri.
"Seperti yang tertera, barisan juri terdiri daripada pelakon terbaik dan pengarah filem terbaik termasuk Zizan. "Kami juga mahukan Zizan merasai pengalaman secara langsung dalam acara itu," katanya ketika ditemui di sidang media.
Goh juga berkata, Zizan sudah mula menonton karya seni yang tersenarai sebagai filem terbaik. "Malah, Zizan tidak sabar bertemu dengan juri lain bagi menentukan pemenang, bulan depan," katanya.
Selain Zizan, barisan juri MIFFest turut dibarisi pengarah dan pelakon hebat antarabangsa antaranya Eric Khio (Singapura), Truong Ngoc Ang (Vietnam), Ryuichi Hiroki (Jepun), serta Johnnie To (Hong Kong) yang dipilih menjadi presiden juri. Edisi keenam MIFFest menyaksikan 42 filem daripada lebih 300 penyertaan tersenarai ke peringkat akhir. Malam kemuncak MIFFest bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada hari terakhir acara berlangsung.- CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|