Keadaan kesihatan penyanyi Ali XPDC, 55, sudah 90 peratus sembuh selepas terkena serangan angin ahmar, tahun lalu. Bagaimanapun kesan penyakitnya itu membuatkannya mengalami masalah pertuturan tidak lancar.
"Saya boleh bercakap dan boleh jawab soalan media, cuma nak balas balik agak lambat sedikit. "Jawapan sudah ada dalam fikiran, tetapi untuk saya jawab secara spontan agak sukar. "Doakanlah semoga kesihatan saya segera pulih seperti sedia kala," katanya kepada Berita Harian. Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 16 Julai depan itu menyaksikan julung kalinya empat band rock 'otai' iaitu Rusty Blade, Babylon, May dan XPDC disatukan atas pentas sama. Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail tetap bersyukur kerana penyakitnya itu tidak menjejaskan kemampuan untuk menyanyi.
Malah, kata bekas vokalis kumpulan Terra Rossa itu, dia sudah bersedia menjayakan konsert berskala besar anjuran Mutiara Optimum Sdn Bhd itu. "Selepas sembuh, inilah persembahan paling besar saya jayakan. Sebelum ini, saya hanya beraksi dalam show berskala kecil seperti funfair dan ekspo. "Alhamdulillah, soal menyanyi tiada masalah. Saya juga masih mampu menyanyi dengan 'key' asal lagu XPDC yang kebanyakannya bernada tinggi. "Lagipun, saya sudah biasa menyanyikan lagu XPDC dan dibantu prompter. Insya-Allah, tak ada masalah dan saya sendiri tidak sabar beraksi dalam konsert bersama rakan lain," katanya kepada BH Online. Sementara itu, Pengarah Urusan Mutiara Optimum Sdn Bhd, Adam Hanafi Masdi menyifatkan konsert itu bakal melakar sejarah buat peminat kugiran berkenaan. "Ini adalah julung kali empat kumpulan rock legenda yang cukup berpengaruh ini akan bermain atas satu panggung. "Saya tidak mahu berkongsi banyak, tetapi percayalah, Konsert Lagenda Rock Vol 1 akan menjadi konsert bersejarah bukan sahaja untuk pemuzik, tetapi peminat yang sudah lama tidak dapat menyaksikan gabungan kugiran rock dalam persembahan," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT