Hariz Hamdan tak boleh nak halang sekiranya ada aktres wanita yang salah sangka dengan layanan baik yang diberikan olehnya semasa menjalani penggambaran. Hariz kata, sejak kecil lagi dia sudah dididik untuk menghormati orang sekeliling termasuklah golongan wanita.
Kata Hariz, jika ada mana-mana perempuan atau pelakon gandingannya yang menyangka layanan baik itu sebagai tanda cinta, dia tidak mampu untuk mengawal perasaan mereka itu. "Jika ada mana-mana wanita tersalah erti dengan layanan baik saya dan menyangka saya menyukai mereka terpulanglah.
"Kalau wanita sukakan lelaki yang ‘caring’ mereka pasti akan tertarik dan jika ada pelakon gandingan yang tersuka pada saya, pandai-pandailah mereka kawal perasaan sendiri. "Itu bukan masalah saya kerana di set penggambaran saya hanya komited untuk bekerja," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, rakan gandingannya dalam filem Jemputan Ke Neraka iaitu Amy Nur Tinie memberitahu demi mendapatkan 'mood' sebagai pasangan kekasih, dia menganggap aktor berkenaan sebagai 'kekasihnya'.
Dalam hal ini, Amy atau nama sebenarnya Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 27, berkata dia dan Hariz tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dan sudah lama bersahabat baik. Malah, mereka pernah terlibat dalam drama Alamak Lagi Lagi Dia dan kerap melakukan siaran 'live' bersama di media sosial. "Mengenali Hariz, dia akan melayan baik semua wanita tidak kiralah saya mahupun orang lain. Jangan mudah cair atau terjatuh cinta dengan dia sudahlah. "Secara peribadi saya tidak kisah kalau kekasih lebih muda asalkan bersikap matang. Umur sekadar angka yang paling penting hati dan kematangan seseorang," ujarnya.
Mengulas lanjut tentang gandingan bersama Tinie, Hariz mengakui dia cukup senang dengan aktres berkenaan kerana sifat kematangannya. Menerusi filem Jemputan Ke Neraka, Hariz memegang watak Fiq yang merupakan kekasih kepada Sofea lakonan Tinie. "Saya suka bekerja dan berkawan dengan Tinie selain matang, dia berfikiran terbuka dan amat menghormati orang sekelilingnya.
"Jadi, apabila saya mendapat tahu akan bergandingan sebagai kekasihnya dalam filem ini saya berasa lega. Keserasian kami memang tidak dibuat-buat sebab kami berdua memang berkawan baik," katanya. Selain Hariz dan Tinie, filem itu juga turut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan dan Alif Hadi. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|