Lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini atas tuduhan menikam bekas teman wanitanya higga mati di sebuah pusat beli-belah tidak membuat sebarng pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Chung King Fung@Haidel Daniel Chung Abdullah, 32, didakwa membunuh Nurul Ain Silien, 22, di Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini, antara jam 12 hingga 12.20 tengah hari, 29 Mei lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pegawai pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes sementara laporan bedah siasat serta data asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes manakala tertuduh akan kekal ditahan kerana tiada ikat jamin dibenarkan untuk pertuduhan ke atasnya.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu peribadi diwakili peguam Chun Teck Min manakala Nabila Norsahar hadir sebagai peguam pemerhati kepada mangsa.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|