Dua hari kanak-kanak berusia tiga tahun di Samarinda, Kalimantan Timur tidak boleh tidur selain mengalami halusinasi dan bersikap hiperaktif selepas diberi jiran air yang dicampur dengan methamphetamine.
Keluarga kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai N itu pada mulanya menyangka mangsa mengalami ‘kerasukan’ kerana bersikap pelik. Menurut Ketua Pasukan Tindakan Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (TRC PPA) Kalimantan Timur, Rina Zainun, keluarga mangsa memberitahu kanak-kanak tersebut bersikap aktif, bercakap tanpa henti dan tidak boleh tidur. “Selain sukar tidur, kanak-kanak itu juga berpeluh dengan banyak dan tidak mahu makan serta minum. “Keluarganya memberitahu, anak mereka berpeluh secara luar biasa, selain mengeluarkan bau yang kurang selesa,” katanya seperti yang dilaporkan detik.com.
Bimbang dengan keadaan kanak-kanak itu, keluarganya mengadukan masalah tersebut kepada Rina dan N dibawa ke hospital di Samarinda. Selepas beberapa pemeriksaan dilakukan, termasuk ujian air kencing, kanak-kanak tersebut disahkan positif dadah methamphetamine. Jelas Rina, kanak-kanak itu dipercayai minum air yang diberikan oleh jirannya. “Kejadian itu didakwa berlaku ketika ibu bapa mangsa membawanya ke rumah jiran dan ketika berada di sana, kanak-kanak tersebut berasa haus lalu meminta air. “Kemudian, jirannya memberikan mangsa sebotol air yang sudah diminum separuh dan kanak-kanak itu minumnya sampai habis. “Sejak itu, mangsa mula menunjukkan gejala pelik sehingga ibu bapanya membuat aduan,” ujarnya. Sementara itu, kanak-kanak tersebut menerima rawatan di hospital dan hanya dibenarkan keluar wad apabila gejala yang dialaminya pulih. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT