Montreal: Kanada ketika ini masih bergelut dengan kebakaran hutan di luar kawalan. Malah, seorang menteri turut memberi amaran bahawa kebakaran hutan yang semakin meluas itu boleh bertahan `sepanjang musim panas’.
Beberapa lagi kebakaran hutan baharu dilaporkan di Kanada memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing di seluruh negara. Kebakaran hutan menjejaskan kawasan seluas 46,102 kilometer persegi sejak awal tahun ini. Jumlah itu jauh melebihi purata direkodkan sebelum ini memandangkan Kanada mengalami cuaca panas lebih cepat berbanding negara lain di tengah-tengah perubahan iklim. Dilaporkan, kebakaran semakin meningkat di Alberta sehingga bandar Edson menyaksikan operasi pemindahan penduduk yang kedua sejak bulan lalu.
“Kebakaran itu di luar kawalan sehingga beberapa anggota kecemasan terpaksa berundur. “Mereka tidak dapat mengawal kebakaran yang semakin marak itu,” kata ketua pegawai pentadbiran, Yellowhead County, Luc Mercier. Di British Columbia pula, sebahagian besar orang menetap di Tumbler Ridge yang memiliki kira-kira 2,400 penduduk, berjaya dipindahkan ketika kebakaran semakin menghampiri bandar itu. Dalam pada itu, Menteri Keselamatan Awam Quebec, Francois Bonnardel berkata, keadaan di bahagian tengah dan barat laut wilayah itu masih sukar, dengan beberapa bandar terancam. Kebakaran hutan di timur laut Quebec pula dianggap masih dalam keadaan stabil. Ketika ini, kira-kira 14,000 penduduk di bawah perintah operasi pemindahan di wilayah itu. – AFP Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT