Bermula sebagai pengguna tegar, Faezah Elai kini dilamar menjadi wajah kempen baju kurung koleksi raya Aidiladha dipanggil Hajeera Edition keluaran jenama Mawar Cotton. Isteri kepada pengarah Heykal Hanifah itu mengakui terkejut dengan lamaran dan pelawaan jenama Mawar Cotton.
"Saya anggap ini rezeki terindah. Jujur hingga saat ini saya rasa macam masih bermimpi dengan tanggungjawab dan amanah diberikan selama sebulan untuk kempen raya haji ini. "Rezeki ini juga sebenarnya membuka kisah lama apabila pihak mereka berpuas hati apabila ulasan dan promosi baju kurung dibuat di Instagram (IG) tiga atau empat tahun lalu membuatkan tak menang tangan dan laku keras. "Saya pun sudah tak ingat dengan kisah berkenaan. Tapi syukur, di sebalik ada yang menganggap saya ‘sendu’, ada jenama yang berani memilih saya.
"Kata mereka, koleksi Hajeera Edition khususnya kena dengan personaliti saya," katanya yang mula berhijab pada 2015. Ibu kepada Luqman Haqeem, Sarah Heyrissa, Luq Adam Heydhani, Dealova Heyrinna dan Aurora Heyricca ini secara peribadi turut menyenangi rekaan baju kurung jenama terbabit. "Pendek kata, rekaannya sesuai dengan gaya dan cita rasa saya. Rekaannya juga ‘rare’ dan tak polos. Motif yang direka dan dihasilkan bagai memberi nyawa kepada baju kurung jenama itu," katanya. Menurut pengasas jenama itu, Nik Hetty Eliya Nik Ab Rahman, pemilihan artis berstatus ibu kepada lima cahaya mata itu didorong dengan alasan yang konkrit dan bertepatan dengan sasaran pelanggan mereka. "Awalnya kami pernah menggunakan khidmat dia (Faezah) ketika mempromosikan koleksi terdahulu yang kami keluarkan beberapa tahun lalu. Percaturan kami mengena apabila ulasan dan promosi dilakukannya mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penggemar jenama kami. "Lagipun koleksi Hajeera Edition kali ini bertepatan dengan gaya dan caranya yang menawan menggayakan kurung bercetak. Justeru, kami yakin boleh mengubah dia menjadi anggun dan lebih menyerlah dengan koleksi kami keluarkan.
"Malah ketika sesi siaran langsung di media sosial, pembabitannya juga kena dengan kelompok sasaran kami iaitu lebih kepada orientasi wanita muslimah, keluarga. Tak lupa, kandungan yang dipromosikan di media sosial juga dekat dengan masyarakat," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini. Istimewanya, Nik Hetty Alia berkata, salah satu design koleksi Hajeera Edition yang dicetak iaitu Cahaya Palestina juga akan disumbangkan ke badan amal terpilih. "Setiap RM1 dari hasil jualan baju rekaan Cahaya Palestina akan disumbangkan ke badan amal terpilih untuk saudara Islam di Palestin," katanya. Sumber: Gempak
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|