Butterworth: Dalam kejadian jam 3.50 pagi kelmarin, seorang lelaki warga asing yang maut akibat ditikam di bahagian perut. Polis kemudian menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman pada abdomen. Polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari Bahagian Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan terdapat pesakit lelaki berusia 33 tahun dibawa rakannya mengalami kecederaan kritikal.
Bagaimanapun mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan. "Pada jam 10 malam hari sama, tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki iaitu majikan dan rakan sekerja mangsa berusia 28 hingga 40 tahun di dua lokasi berbeza di Butterworth dan Permatang Pauh yang dipercayai terbabit dalam kes ini. "Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek yang ditahan mengaku mencederakan mangsa semasa berada di tempat kejadian sebelum melarikan diri. "Punca kejadian adalah berpunca daripada pertengkaran mulut di antara mangsa dan suspek yang kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk semasa insiden berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, telefon bimbit, pisau, dua botol minuman keras, seluar pendek dan sehelai T Shirt yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian dirampas. "Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT