Gara-gara perkongsiannya di media sosialnya baru-baru ini, Reen Rahim disifatkan angkuh oleh warganet. Dalam perkongsian tersebut, Reen mendakwa menerima aduan individu yang mengatakan kononnya pelakon itu semakin sombong dan tidak mahu bergambar dengan peminat.
Namun, jawapan balas Reen dalam Instastorynya mengundang rasa kurang senang warganet yang ‘meluat’ dan tidak menyangka pelakon itu akan berang dengan situasi itu. "Bila saya baca komen individu tersebut, saya sendiri tertanya-tanya bila masa pula saya sombong dengan peminat. Setakat ini tidak pernah pula ada yang cakap saya sombong. "Tetapi saya fikir, itu mungkin satu teguran tetapi menggunakan kata-kata yang kurang senang. Marah itu ada juga, sebab saya tidak pernah berkelakuan begitu. Jangan mudah jatuh hukum," jelasnya apabila ditanya Utusan mengenai dakwaan netizen itu.
Jelas Reen, dia tidak akan memarahi atau menengking peminat yang mahu bergambar. "Memang tidaklah. Peminat adalah sebab saya masih di sini (industri seni). Selalunya kalau saya memerlukan ruang sendiri bersama suami atau keluarga, saya akan tolak dengan baik. Kebanyakan peminat faham dan tidak memaksa. Saya fikir ini mungkin satu ‘gurauan kasar’," katanya. Mengulas mengenai trend membandingkan artis kurang ajar dan baik budi, Reen berpendapat setiap orang termasuk dirinya sendiri ada idola masing-masing. Memahami perasaan peminat yang teruja mahu bergambar, Reen bagaimanapun beranggapan ada masa kita harus menghormati privasi seseorang. "Apa yang dikongsikan itu adalah pengalaman peribadi mereka. Mungkin ketika itu selebriti tertentu terlalu penat dan sudah menolak dengan baik permintaan peminat. "Cuma saya sedar, sebagai figura umum kita ada tanggungjawab untuk menyantuni mereka yang meminati kita. Kita tidak boleh sombong dan angkuh dengan sesiapa sahaja," jelasnya. Akur statusnya sebagai selebriti, Reen juga tidak boleh lari daripada perhatian, kecaman dan penilaian umum. "Tetapi kami juga manusia. Ada hati dan perasaan seperti anda semua. Adakala kami penat dan tidak ada daya untuk beramah mesra dengan peminat untuk jangka masa lama," katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT