Menumpukan perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar, penyanyi Akim Ahmad mengambil keputusan untuk memperlahankan karier seninya sejak tiga tahun lalu. Pemilik nama sebenar, Afiq Hakim Ahmad, 32, berkata, dia dan isterinya, Stacy yang juga seorang penyanyi sepakat untuk fokus kepada urusan keluarga selain meluangkan masa untuk mencipta lagu.
"Memang agak lama dan saya sendiri sedar perkara itu. Sebenarnya apa yang berlaku, saya dan Stacy berehat seketika untuk fokus kepada keluarga. "Banyak masa kami habiskan untuk melihat anak-anak membesar tapi pada masa sama kami aktif buat lagu untuk penyanyi lain," katanya. Bagaimanapun kata Akim, dia kini sudah bersedia merancakkan kembali karier muziknya apabila melancarkan single terbaharu bersama kumpulan Akim & The Majistret berjudul Saksama. Berkongsi mengenai lagu Saksama, Akim memberitahu lirik karya berkenaan mendapat sentuhan Stacy yang juga dikenali sebagai Bunga Cantik dan juga anggota The Majistret sendiri.
Malah Akim juga memaklumkan lagu ini agak berbeza dengan lagu sebelum ini kerana akan memberi ketenangan kepada pendengarnya. "Saya dan Stacy selalu berbincang mengenai apa yang kami mahukan dalam sesebuah lagu. Semasa proses rakaman, Stacy juga menjaga vokal saya. "Apa dapat saya rangkumkan, Saksama sebuah lagu yang tenang. Bagi pengikut setia Akim & The Majistret, mereka akan tahu lagu ini berbeza. "Kesemua anggota kumpulan ini juga memberikan idea dalam melengkapkan penghasilan Saksama," katanya. Dalam pada itu, Akim turut berkongsi perancangannya untuk mengadakan konsert dan siri jelajah di beberapa lokasi terpilih. Jelasnya, dia mahu terus kekal dan diterima baik peminat selepas perjalanannya bersama Akim & The Majistret hampir mencecah 10 tahun. “Peminat juga sedia maklum akan semangat kami dalam bidang muzik ini dan Akim & The Majistret adalah platform terbaik untuk kami menterjemahkannya. "Ia seiring juga dengan perkembangan kumpulan ini yang hampir menginjak usia 10 tahun. Evolusi muzik kami membawa satu gambaran berbeza untuk ATM dahulu dan sekarang,” jelasnya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT